FAST UTHM JADI RAKAN STRATEGIK PROJEK KONSERVASI GAJAH ASIA


Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (FAST UTHM) dilantik sebagai rakan strategik Projek Konservasi Gajah Asia oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN). | Sumber foto: Portal rasmi UTHM.

 

BATU PAHAT — Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (FAST UTHM) terus mengorak ke hadapan apabila dilantik sebagai rakan strategik Projek Konservasi Gajah Asia oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

 

Pelantikan sebagai rakan strategik ini akan membolehkan FAST UTHM memainkan peranan dalam menyokong usaha pemuliharaan gajah di negara ini.

 

Selain itu, projek konservasi yang turut mempunyai ‘war room’ itu juga akan memberi peluang kepada FAST UTHM dalam menyumbang sarankan idea dan melaksanakan program bersama terutama berkaitan isu konservasi gajah di Semenanjung Malaysia.

 

Ketua Projek, Sr Ts Dr Nazirah Mohamad Abdullah, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan turut bekerjasama dengan beberapa fakulti lain iaitu Jabatan Fizik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

 

Kolar satelit gajah yang diterima daripada PERHILITAN sebagai amanah. | Sumber foto: Portal rasmi UTHM.

 

“Ini rentetan daripada penerimaan satu kolar satelit gajah daripada pihak PERHILITAN yang merupakan amanah kajian baharu yang bakal diusahakan. Kolar satelit gajah yang tidak aktif diterima pada 8 Mac lalu daripada Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Jamin.

 

“Ia susulan daripada perbincangan pertama yang diadakan bersama Pegawai Pakar Bidang Khusus (SME) Proboscidea, Salman Saaban merangkap Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan,” katanya dalam kenyataan di portal rasmi UTHM, hari ini.

 

Dr Nazirah yang juga penyelidik utama Pusat Penyelidikan Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana (CAGeD) berkata, kajian yang dikendalikannya sebelum ini adalah membangunkan model jajaran laluan baharu gajah serta penghalaan semula gajah ke arah pengurusan mampan bagi memulihara haiwan tersebut.

 

“Saya menggunakan teknologi geomatik dan geovisualisasi 3D daripada Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai strategi untuk memulihara pengurusan gajah secara mampan dalam kajian,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya berharap lantikan sebagai rakan strategik itu dapat membantu pentadbir pemuliharaan gajah membuat keputusan, perancangan dan penilaian kepada kesesuaian habitat gajah.

 

“Selain itu, jalinan kerjasama yang menggunakan kepakaran UTHM melalui gabungan dua bidang iaitu teknikal dan biologi gajah diharap dapat membantu meningkatkan bilangan populasi gajah di negara ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor