SESI TOWNHALL JETP PACU HALA TUJU TRANSFORMASI EKONOMI KULAI

Sesi Townhall JETP Daerah Kulai menghimpunkan kira-kira 200 pemain industri dan agensi kerajaan bagi membincangkan potensi serta keperluan pembangunan ekonomi daerah. Kulai turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor dengan pelaburan terkumpul RM88.51 bilion melalui Kulai Fast Lane dari 2021 hingga Jun 2026. | Foto FB Israk Abdullah
#Kulai – Sesi Townhall Johor Economic Transformation Plan (JETP) Daerah Kulai menjadi platform terbaik dalam menghimpunkan kira-kira 200 pemain industri, peniaga, pemaju, wakil pelabur serta agensi kerajaan bagi membincangkan potensi, cabaran dan keperluan pembangunan ekonomi daerah berkenaan.
Daerah Kulai sememangnya mempunyai peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan Negeri Johor menerusi perkembangan kawasan perindustrian, kedudukan strategik serta jaringan pengangkutan melalui udara dan darat dengan pelaburan terkumpul berjumlah RM88.51 bilion yang direkodkan menerusi Kulai Fast Lane dari tahun 2021 hingga Jun 2026.
Seiring pertumbuhan tersebut, aspek kesiapsiagaan infrastruktur turut diberi perhatian, khususnya melibatkan jalan raya, pengangkutan awam, bekalan air dan elektrik, sistem saliran, perumahan serta kemudahan masyarakat.
Perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kawasan pembangunan utama di Kulai juga perlu mengambil kira keperluan pergerakan pekerja, rantaian bekalan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Bagi tempoh 2027 hingga 2035, hala tuju pelan induk pembangunan Kulai akan terus mengekalkan nisbah guna tanah melibatkan kawasan pertanian sebanyak 45 peratus; perumahan (15 hingga 20 peratus); industri (15 peratus); komersial (lima peratus) dan kegunaan lain 15 peratus.
Dalam aspek pemudahcaraan urusan perniagaan, pendekatan Kulai Fast Lane berjaya memendekkan tempoh proses daripada 36 bulan kepada hanya 14 bulan menerusi penyelarasan antara Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), jabatan teknikal, penyedia utiliti dan pihak industri, sekali gus membolehkan isu pembangunan dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih awal dan berkesan.
Pendekatan 3T1M1C yang merangkumi aspek Turun Padang, ‘Teamwork’, ‘Te Shì Te Bàn’, ‘Micromanage’ dan ‘Communication Plan’ turut ditekankan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diteliti, diselaraskan dan dipantau hingga tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
Pelaksanaan JETP daerah Kulai diharap dapat memastikan pertumbuhan ekonomi Negeri Johor akan terus berupaya memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya melalui peluang yang lebih luas kepada anak tempatan dalam aspek peningkatan kemahiran, pekerjaan dan pembangunan kerjaya, selain membuka ruang kepada usahawan serta peniaga kecil dalam rantaian ekonomi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan keluarga dan kesejahteraan masyarakat Johor.
#JETP
#Kulai
#KulaiFastLane
#EkonomiJohor
#PelaburanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


