PEMBANGUNAN KEKAL BENTUK MUKA BUMI : SULTAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, diingatkan agar memastikan pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi mesti mengekalkan bentuk muka bumi atau topografi asal tanah.

 

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar juga bertitah, pihak pemaju tidak wajar dibenarkan untuk meratakan permukaan tanah kesemuanya.

 

“Jika kerja pemotongan bukit perlu dibuat, ianya mesti dikawal dan dilakukan secara minima. Saya harap semua Datuk Bandar dan YDP (Yang Dipertua) akan selidik dahulu betul-betul sebelum meluluskan semua pelan kerja tanah.

 

“Mulai sekarang juga, saya menggesa semua majlis agar tidak meluluskan sebarang kebenaran merancang (KM). Jika pemaju tidak menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal di dalam pelan ‘layout’ mereka,” titah baginda Tuanku Sultan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Dalam perkembangan lain, Sultan Johor merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai daerah, petugas dan sukarelawan serta semua pihak yang terlubat dalam membantu mangsa banjir di Negeri Johor.

 

“Semoga bencana ini segera beransur pulih dan kehidupan rakyat yang selesa dan sejahtera dapat dikecapi semula.

 

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Negeri Johor terus maju membangun dengan aman dan makmur, dijauhi daripada segala bala bencana agar seluruh rakyatnya dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bahagia,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor