PENCERAMAH MESTI MILIKI TAULIAH MAINJ : SULTAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, hadir merasmikan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini / Sumber Foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di dalam negeri Johor mesti memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), tegas DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Baginda Tuanku Sultan bertitah, semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama juga wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah dan menyatakan mengenai tajuk serta perkara akan disampaikan.

 

“Sekiranya ada mana-mana masjid atau surau yang gagal mematuhi peraturan ini, maka semua ahli jawatankuasanya akan diambil tindakan dan dipecat.

 

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran syiar Islam, tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng atau terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor,” titah Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Sultan Johor bertitah, kaedah itu juga bertujuan mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda khususnya.

 

“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa hadapan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor