LEBIH 5,000 TAN SISA PEPEJAL PASCA BANJIR DIKUTIP


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berada di lokasi tapak pelupusan sementara di Chaah, Labis. | Foto ihsan: Facebook Raven Kumar Krishnasamy

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Majlis Daerah Labis (MDL) berjaya membersihkan lebih 5,000 tan sisa sampah pepejal akibat bencana banjir baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata fasa pasca banjir di Johor terutama di daerah Segamat menjana sejumlah besar sisa pepejal yang boleh mengancam kesihatan awam.

 

“Sejumlah lebih 5,000 tan sisa pepejal yang pada mula ditempatkan di tapak pelupusan sementara di Chaah, Labis.

 

“Alhamdulilah berkat kerjasama, bantuan serta penyelarasan bersama akhirnya proses penyingkiran dan pembersihan sisa sampah banjir dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya.

 

Mohd Jafni berkata, sehingga 24 Mac lalu, jumlah keseluruhan sampah banjir di Johor yang direkodkan adalah seberat 5,812.45 tan.

 

“Dari segi pecahannya, Tapak Pelupusan Buloh Kasap menampung sebanyak 2,010.91 tan sisa sampah pepejal diikuti Tapak Pelupusan Moakil (3,368.11 tan) dan Tapak Pelupusan Batu Ampat (433.43 tan).

 

“Kesemua sampah ini berjaya diuruskan dengan baik dan tersusun mengikut perancangan yang rapi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor