KERAJAAN JOHOR KOMITED LAHIRKAN 500 IMAM MUDA SETIAP TAHUN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited melahirkan 500 Imam Muda terlatih dan bertauliah pada setiap tahun, menerusi Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) bagi menambah bilangan imam dan bilal untuk masjid dan surau di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, MARSAH akan membantu kerajaan negeri menjayakan hasrat tersebut menerusi graduan mereka.

 

“Program Imam Muda MARSAH ini, sebelum mereka bergraduasi, mereka akan diberikan kursus bagi maksud tauliah imam dan juga bilal. Jadi setiap tahun, Johor akan mengeluarkan imam muda yang terlatih bahkan terpelajar menerusi program ini.

 

“Telah mendapat persetujuan MARSAH untuk mereka kendalikan dan ini antara usaha-usaha tambahan daripada kerajaan negeri untuk membolehkan isu kekurangan imam dan bilal ini diselesaikan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas jawapan diberikan terhadap isu kekurangan imam dan bilal yang dibangkitkan oleh ADUN Sedili, Muszaide Makmor pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Selain menerusi MARSAH, Mohd Fared memberitahu kerajaan negeri juga mendapat kerjasama daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melahirkan Imam Muda dari kalangan pelajar dan graduan universiti itu.

 

“Kerjasama dari UTHM ini menerusi Program Eksekutif Imam Profesional di mana saban tahun, mereka akan melahirkan 85 orang imam muda dari kalangan pelajar dan juga graduan.

 

“Itu jumlah yang agak kecil, tapi ia signifikan sebab kita dapat kerjasama dengan sebuah universiti awam,” katanya.

 

Pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penduduk di sesebuah kawasan penempatan yang berhadapan isu tersebut untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit.

 

Ujarnya, mereka yang berkelayakan boleh memohon kepada pejabat kadi daerah masing-masing, seterusnya mengikuti kursus dan juga program disediakan sebelum ditauliahkan menjadi imam dan bilal.

 

“Kita mengakui ada beberapa lokasi kekurangan imam dan bilal ini disebabkan oleh keadaan kampung atau taman tersebut. Ia berlaku adalah bagi kes-kes yang terpencil sebenarnya.

 

“Contohnya kalau di kawasan kampung, menjadi kurang sebab imam atau bilal yang tertentu itu sudah uzur (masalah kesihatan). Atau Imam dan bilal ini berpindah dan keluar dari kariah,” katanya.

 

Setakat ini, terdapat seramai 4,463 pegawai masjid terdiri daripada imam, bilal dan noja di 838 masjid dan 1,942 surau di negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor