JOHOR PERLUAS JAUHAR CHILDCARE CENTRE DI PPR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail meninjau tapak lokasi cadangan penubuhan Jauhar Childcare Center di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Johor Bahru, semalam | Sumber Foto Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bercadang memperluas kemudahan Jauhar Childcare Centre (JCC) ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar daerah Johor Bahru bagi membantu golongan sasar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata cadangan pembinaan kemudahan taska JCC ini membabitkan tiga lokasi di sekitar Johor Bahru yang dijangka mampu menampung seramai 1,742 kanak-kanak.

 

Katanya, tiga tapak cadangan pembinaan JCC terbabit adalah Dewan Komuniti Taman Cendana, Pasir Gudang; PPR Desa Mutiara serta PPR Melana Indah.

 

“Taska JCC ini amat membantu golongan sasar B40 dengan menawarkan yuran bulanan sebanyak RM250 bagi penjagaan bayi 0 hingga dua tahun manakala RM220 pula bagi penjagaan kanak-kanak berusia dua hingga tahun.

 

“Saya berharap agar projek ini dapat terus dijalankan bagi membantu lebih ramai golongan sasar dan secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan kanak-kanak untuk diletakkan oleh ibubapa atau penjaga mereka,” katanya di laman sosial Facebook rasminya, semalam.

 

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT Nor Faezah Md Esa dan Penolong Pengurus (Pengurusan PPR/RSK) Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor; Mohamad Fahmi Zakaria.

 

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Belanjawan Negeri Johor 2023 telah membentangkan inisiatif Potensi Anak Jauhar yang merangkumi penubuhan JCC dengan peruntukan sebanyak RM4.18 juta.

 

Inisiatif ini dilaksanakan kerana pada peringkat awal kanak-kanak ini, perhatian dan didikan yang sempurna perlu diberikan kepada mereka agar membesar sebagai Bangsa Johor yang progresif dan dinamik.

 

Selain itu, inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam supaya setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

 

Untuk rekod, tiga JCC YPKDT telah dibina antaranya di daerah Pontian, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor