KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM50,000 KEPADA IBU BAPA SK PERIGI ACHEH


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh hadiri sesi perjumpaan bersama ibu bapa, guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang di Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh, Johor Bahru | Sumber Foto Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, Pasir Gudang yang terpaksa bergerak jauh menghantar dan mengambil anak mereka daripada sekolah.

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh, berkata ia berikutan murid sekolah tersebut terpaksa ditumpangkan sementara di SK Tanjung Langsat yang terletak jauh daripada sekolah asal mereka.

 

“Saya memahami kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapa yang terpaksa menghantar dan mengambil anak-anak mereka yang kini ditumpangkan sementara di SK Tanjung Langsat yang terletak jauh sedikit daripada sekolah asal tersebut.

 

“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan melalui permohonan yang dipanjangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Azizul Bachok, Menteri Besar akhirnya telah meluluskan geran bantuan RM50,000 berkenaan,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook rasminya.

 

Norlizah berkata, pihaknya berharap geran bantuan terbabit sedikit sebanyak dapat menampung beban kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa SK Perigi Acheh.

 

Dalam pada itu, Norlizah turut memuji prestasi 104 murid sekolah berkenaan yang mencatatkan kehadiran sebanyak 95 peratus walaupun berdepan dengan sedikit masalah.

 

“Dalam kesukaran itu, pujian harus diberikan kepada ibu bapa, guru dan murid SK Perigi Acheh ini kerana difahamkan rekod kehadiran muridw itu adalah ditahap 95%,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor