OPERASI EFISIEN ATASI KESESAKAN, MUDAH URUSAN RAKYAT : MB


Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bersama Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Kawalan), Datu Ken Anak Leben, pagi tadi. | Foto ihsan: Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor yakin pengoperasian lebih efisien dapat mengurangkan kesesakan di pintu sempadan negara di negeri ini, dan memudahkan urusan seharian rakyat.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu berkenaan mampu ditangani dengan berkesan hasil kerjasama semua pihak berkaitan.

 

“Saya yakin dan pasti dengan pengoperasian yang lebih efisien di tahap maksimum, bukan sahaja masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan malah ia akan memudahkan urusan seharian rakyat.

 

“Saya mendengar dan memahami kekangan yang dialami oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dan Malaysia, namun saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, beliau meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bersama Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Kawalan), Datu Ken Anak Leben, pagi tadi.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Ir. Abu Bakar Abd Aziz.

 

Onn Hafiz berkata, beberapa isu dan cadangan penyelesaian jangka pendek telah dibincangkan bagi mengatasi masalah kesesakan terutama semasa waktu puncak.

 

“Pertama, semua kaunter perlu beroperasi di tahap maksimum terutama semasa waktu puncak. Kedua, waktu pertukaran syif perlu dilakukan luar dari waktu puncak.

 

“Ketiga, penggabungan kaunter kereta zon A, B, C, dan D di BSI perlu diselesaikan selewat-lewatnya bulan Julai tahun ini. Keempat, kekurangan staf imigresen dan isu pentadbiran seperti OT (overtime – kerja lebih masa) perlu diselesaikan segera,” katanya.

 

Selain itu, ujarnya, JIM dan JKR juga perlu terus memantau kerja syarikat konsesi dari segi penyelenggaraan kemudahan awam bangunan dan aset-aset di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor