PENGISIAN KOMPLEKS WARISAN SULTAN ABU BAKAR MELAMBAI PENGUNJUNG


Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar telah menerima kunjungan pelawat yang memberangsangkan lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 | Foto oleh : Asyiqin Jalil

 

ISKANDAR PUTERI — Sejak lima tahun pemasyhurannya, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, dekat Johor Bahru telah menerima kunjungan pelawat yang memberangsangkan lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19, dengan peningkatan sebanyak 79 peratus bersamaan 5,652 pelawat pada 2022 berbanding 1,200 pelawat pada tahun sebelumnya.

 

Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam, Media dan Korporat Yayasan Warisan Johor (YWJ), Muhammad Qaim Qays Azmi, kompleks terletak di Seri Gelam ini menyediakan pelbagai program, aktiviti dan koleksi menarik di setiap ‘checkpoint’ bagi menarik lebih ramai pengunjung selain memberikan pengalaman berbeza.

 

“Di dalam kompleks ini, kita sediakan lima ‘checkpoint’ dengan setiap daripadanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri untuk para pelawat. Antaranya kita ada Rumah Limas Johor yang sangat sinonim dengan masyarakat negeri Johor.

 

“Di rumah limas ini juga kita sertakan permainan tradisional untuk mereka yang ingin mengimbau kembali zaman kanak-kanak dan juga kita nak perkenalkan ia kepada masyarakat sekarang. Rata-rata masyarakat kini tinggal di hutan bandar dan sudah pasti kurang pendedahan terhadap permainan congkak, batu seremban, galah panjang dan lain-lain.

 

“Selain itu, kita juga memberi peluang kepada para pengunjung menggayakan busana warisan Johor seperti baju Melayu dan baju Kurung Teluk Belanga. Ada pelancong yang datang dari Jepun, Rusia dan Jerman. Kita juga ajar mereka cara memakai sampin dengan betul,” katanya.

 

Qaim menambah, pelawat juga akan dihiburkan dengan tarikan utama di kompleks ini iaitu tarian zapin yang terletak di Rumah Zapin.

 

Ujarnya, dengan hampir 15 jenis zapin yang ada di negeri ini, Yayasan Warisan Johor (YWJ) komited untuk memartabat seni tarian tersebut.

 

“Kita beri peluang kepada pengunjung untuk belajar sendiri bagaimana untuk menari zapin. Kita dedahkan mereka dengan pergerakan asas supaya mereka memahami teknik dan cerita tersendiri di sebalik tarian zapin.

 

“Selain itu, kita juga ada Galeri Seni Johor yang menempatkan hampir 10,000 karya seni anak-anak Johor. Ini merupakan inisiatif dari YWJ untuk memberi peluang kepada pengkarya seni untuk mempamerkan hasil kerja seni mereka selain mengangkat martabat anak seni Johor. Jika tidak, mereka perlu membayar untuk meletakkan karya mereka di galeri luar.

 

“Di sini, YWJ akan mengadakan pameran berkala setiap tiga bulan sekali bagi menarik lebih ramai pengunjung khususnya para peminat karya seni lukisan, penulisan khat dan sebagainya,” katanya.

 

Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar turut menghimpunkan 15,000 bahan bacaan negeri Johor, koleksi buku nadir dan naskhah di Pusat Dokumentasi Johor.

 

“Terdapat koleksi buku-buku nadir, majalah-majalah lama dan penulisan yang hebat dari tamadun yang lepas. Ia bertujuan bagi mendedahkan mengenai kehebatan tamadun terdahulu kepada masyarakat.

 

“Selain itu, YWJ juga membantu para sarjana dan penuntut universiti yang sedang menjalankan kajian atau menyiapkan penulisan mereka. Kami mengalu-alukan mereka untuk datang ke sini.

 

“Pusat Dokumentasi Johor ini berbeza dengan perpustakaan awam. Di sini kita menyediakan kakitangan untuk membantu mereka mendapatkan bahan-bahan yang mereka inginkan sebagai rujukan,” tambahnya.

 

Antara tarikan lain adalah Galeri Tenun Johor yang menghimpunkan pelbagai rekaan khas tenun Johor selain turut memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menenun secara tradisional.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor