BERTENANG, JANGAN BUAT SPEKULASI : JAINJ
ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) meminta masyarakat untuk bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, dekat Johor Bahru.
Pengarahnya, Jamaludin A. Hamid berkata, JAINJ mengambil maklum penularan tangkap layar mengenai isu tersebut dipercayai disiarkan menerusi paparan di media sosial yang telah menimbulkan spekulasi dan kerisauan di kalangan waris serta masyarakat.
“JAINJ ingin memaklumkan bahawa tindakan telah diambil dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan siasatan berhubung perkara berikut.
“Oleh itu, orang awam diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi dan sebagainya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Jamaludin berkata, JAINJ juga mencadangkan agar pengurusan tanah perkuburan terbabit mengambil langkah-langkah yang wajar serta penambahbaikan dan penyelenggaraan bagi mencegah aktiviti kecurian itu dari terus berlaku.
“Semua pihak adalah dimohon untuk bertenang dan sabar mengenai perkara ini, dan tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sehingga isu ini diselesaikan oleh pihak berwajib,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penularan kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa yang kini dalam siasatan pihak polis.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor