JOHOR KONGSI ‘INPUT’ KERTAS PUTIH KESIHATAN
ISKANDAR PUTERI — Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan reformasi kesihatan negara menerusi Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun depan, mendapat penyertaan Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon telah hadir ke sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Selatan di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh, dekat Muar, semalam.
Kehadiran tersebut membuka peluang kepada beliau berkongsikan maklumat serta pandangan berkaitan masa depan sistem kesihatan negara.
“Saya juga mengambil kesempatan ini mengemukakan pandangan saya, Negeri Johor masih sedang mengalami kekangan kakitangan staf perubatan. Hal ini juga disebabkan Negeri Johor berjiran dengan Singapura dan banyak petugas kesihatan memilih merentas ke Singapura bagi mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi.
“Oleh itu, saya berharap pada masa hadapan sektor kesihatan Malaysia dapat merangka sesuatu sistem khas bagi memberi insentif dan juga impak kenaikan kerjaya bagi anggota kesihatan kita,” katanya dalam Facebook rasminya, semalam.
Selain itu, Tian Soon turut mencadangkan agar sektor kesihatan di negara ini, menuju ke arah digital dengan penggunaan aplikasi atau kod QR bagi tujuan rekod perubatan dan pengurusan temujanji.
“Saya berpendapat masa depan kesihatan kami mungkin cuma memerlukan satu ‘QR Code’ ianya sudah dapat menguasai semua rekod perubatan pesakit dan satu aplikasi bagi menguruskan temujanji doktor serta perkhidmatan lain,” katanya.
Beliau memberitahu Kertas Putih Kesihatan merupakan dokumen pelan reformasi kesihatan negara yang menggariskan masa depan sektor kesihatan negera kita.
“Ia juga dibangunkan dengan mengambil kira input pelbagai pemegang taruh termasuk pelbagai lapisan masyarakat dan rakyat bagi memastikan ianya bersifat holistik dan inklusif dalam pelan operasi masa depan. Kini, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mengkaji dan mengumpul pandangan serta maklumat,” katanya.
Terdahulu, Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Selatan di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh, dekat Muar, telah disempurnakan perasmian oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor