KERAJAAN JOHOR ZAHIR PENGHARGAAN KOMITMEN KDN



Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas komitmen menyelesaian isu kesesakan di pintu sempadan negara, di negeri ini | Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas komitmen menemui titik penyelesaian isu kesesakan di pintu sempadan negara, di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri supaya isu yang sudah berlarutan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) diatasi.

 

“Bagi pihak kerajaan negeri saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen YB Datuk Seri (Saifuddin Nasution Ismail) serta pegawai-pegawai kanan KDN, khususnya Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Ubi dan semua yang terlibat dalam usaha mencari penyelesaian mengenai isu kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua. Namun, itu tidak bermakna kami sudah boleh berpeluk tubuh,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Saifuddin Nasution yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri di Putrajaya, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, beliau telah membangkitkan beberapa perkara yang diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha penyelesaian.

 

Ujarnya, antara yang dibangkitkan adalah pertambahan petugas Jabatan Imigresen Malaysia serta pengurusan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Semoga usaha antara dua pihak ini dapat menjelmakan sinar untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lamanya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor