TINDAKAN SULTAN JOHOR DEMI KEPENTINGAN MASYARAKAT ORANG ASLI


Tuanku Sultan Johor sudah tentu meletakkan kepentingan masyarakat Orang Asli yang juga rakyat baginda sebagai keutamaan demi kemaslahatan kaum berkenaan secara bersama. | Foto Ihsan: Arkib JAKOA

 

Oleh Aivizanoorwani Shah, Mohd Firdaus Yon, Badrul Kamal Zakaria dan Imran Razib

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak akan bertindak sewenang-wenangnya melainkan demi menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli khususnya di Negeri Johor.

 

Sebagai pemerintah negeri ini, Tuanku Sultan Johor sudah tentu meletakkan kepentingan masyarakat Orang Asli yang juga rakyat baginda sebagai keutamaan demi kemaslahatan kaum berkenaan secara bersama.

 

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Faisal Long, berkata isu Tanah Kesultanan yang timbul mutakhir ini adalah disebabkan kekurangan kefahaman mengenai perkara itu.

 

“Mereka yang tidak faham akan berasakan seolah Tuanku Sultan tidak betul (kononnya kepentingan peribadi tuanku)… tidak betul begitu kerana mesti ada bersebab (menyebabkan Tuanku mengambil langkah sedemikian).

 

“Tuanku Sultan mengeluarkan sesuatu titah mesti ada sesuatu. Tidak mungkin tuanku bertitah sewenang-wenangnya kerana tuanku mendapat maklumat tertentu mengenai perkara ini,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Faisal berkata, segala tindakan DYMM Tuanku Sultan sudah pasti bersebab dan mungkin boleh menganggu gugat Negeri Johor dan rakyatnya.

 

“Tuanku Sultan mempunyai ramai pegawai… ada berapa ramai Pegawai Askar Timbalan Setia (JMF), Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) di bawah naungan tuanku yang boleh memberi pelbagai maklumat.

 

“Saya percaya ia berkait rapat dengan kepentingan rakyat dan negeri serta daripada dikawal oleh pihak tertentu, lebih baik Tuanku Sultan mengambil tindakan dengan kadar segera daripada ia jatuh kepada orang lain,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya menerusi titah baginda sebelum ini adalah demi melindungi kepentingan masyarakat Orang Asli dan masa depan mereka kelak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor