HUBUNGAN INSTITUSI DIRAJA JOHOR DAN MASYARAKAT ORANG ASLI SENTIASA AKRAB
Oleh Aivizanoorwani Shah, Mohd Firdaus Yon, Badrul Kamal Zakaria dan Imran Razib
KLUANG — “Seronok dan terkejut apabila Tunku Putera (YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim) berangkat menyerahkan bantuan banjir kepada kami,” kata penduduk Kampung Orang Asli Pucur, Din Eja.
Mengimbas kembali bencana banjir di Johor pada awal Mac lalu yang turut melanda perkampungan Orang Asli berkenaan, Din yang berketurunan etnik Jakun berkata, ketika itu beliau bersama penduduk kampung sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan dataran tinggi di penempatan berkenaan.
“Kami dan beberapa penduduk kampung sekitar ketika itu sedang berlindung di PPS berkenaan dengan keadaan serba kekurangan. Namun, Tunku (Tunku Abu Bakar) datang tiba-tiba (dengan membawa pelbagai barangan bantuan).
“Menerusi bantuan itu, kami dapat bertahan dan lebihan bantuan banjir itu kami turut berkongsi dengan penduduk dari perkampungan lain,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, baru-baru ini.
Din yang berasal dari perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Mersing sebelum menetap di penempatan berkenaan selepas berkahwin dengan wanita idamannya yang tinggal di Kampung Orang Asli Pucur berkata, bukan itu sahaja kerana sebelum ini pihak Institusi Diraja Johor sentiasa mengurniakan pelbagai bantuan kepada masyarakat itu.
“Kerabat Diraja Johor sebelum ini pun ada turun (ke kampung berkenaan) dan mengurniakan bantuan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Pucur dan beberapa lagi perkampungan lain yang berdekatan,” katanya.
Semakan Media Digital Johor juga mendapati hubungan antara Institusi Diraja Johor dengan masyarakat Orang Asli di Negeri Johor sentiasa berada dalam keadaan akrab.
Hubungan istimewa antara pihak Istana Johor dan masyarakat Orang Asli khususnya membabitkan etnik dari suku Jakun, Kanaq, Temuan, Seletar dan Kuala sentiasa berada dalam keadaan baik kerana keakraban ini sudah terjalin sejak sekian lama.
Malah, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sendiri turut memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli.
Ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan baginda dengan mengurniakan pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat Orang Asli, selain Tuanku Sultan Johor turut mengambil berat mengenai pelbagai isu berkaitan pribumi berkenaan.
Kasihnya DYMM Sultan Ibrahim terhadap masyarakat Orang Asli ini dapat dilihat apabila baginda melancarkan ekspedisi khas iaitu Kembara Mahkota Orang Asli yang berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2005.
Malah, Media Digital Johor juga difahamkan hubungan rapat di antara DYMM Sultan Ibrahim dan masyarakat Orang Asli bermula sejak ayahanda baginda iaitu Almarhum Sultan Iskandar sering membawa Tuanku Sultan yang ketika itu Tunku Mahkota Johor (TMJ) ke perkampungan Orang Asli dalam setiap lawatan rasmi.
Jadi tidak menghairankan apabila bapa saudara baginda iaitu Almarhum Ungku Yusoff Ungku Abdul Rahman mendefinisikan hubungan Istana Johor dan Orang Asli sebagai sesuatu yang istimewa.
“Sultan Ibrahim sehingga kini masih rapat dengan masyarakat Orang Asli di Johor, bahkan dengan setiap lapisan rakyat. Hari ini, kita melihat rakyat menyayangi Sultan Ibrahim kerana sifatnya yang sering mengambil berat dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya” jelas petikan kata-kata Almarhum Ungku Yusoff yang diabadikan di dalam laman sosial Instagram OfficialSultanIbrahim pada 3 Disember 2015.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor