JOHOR FOKUS PEMBANGUNAN ATLET BERSISTEMATIK


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengadakan tinjauan ke The Cage bagi melihat sesi latihan sukan tinju dalam kemudahan yang serba lengkap | Sumber Foto Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menitik beratkan dan memantau pembangunan atlet di negeri ini, supaya tidak ketandusan bakat baharu berkualiti serta berdaya saing di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pembangunan atlet bersistematik sememangnya menjadi kunci kepada kualiti dan ‘performance’ bakat Johor.

 

“Ianya terbukti apabila Johor menjadi Juara Sukan Malaysia XX pada tahun lalu selepas menjalani fasa bertahun-tahun dalam menambahbaik aspek perkhidmatan sains sukan.

 

“The Cage, iaitu sebuah gimnasium milik Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menjadi contoh bagaimana dengan perkhidmatan sains sukan yang baik dan bersistematik, dapat melahirkan atlet yang berkualiti serta berdaya saing,” katanya dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan The Cage bagi melihat sendiri sesi latihan sukan tinju dalam kemudahan yang serba lengkap itu.

 

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, The Cage dibina bagi memberi perkhidmatan sains sukan kepada persediaan atlet yang lebih bersistematik merangkumi elemen suaian fizikal, pemakanan sukan, psikologi dan fisioterapi.

 

Ujarnya, kemudahan The Cage disokong dua program pembangunan atlet dijalankan MSNJ iaitu Program GRIT 2030 dan Program Gold Johor.

 

“Tahun ini, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi Program GRIT 2030 dengan sasaran menjadikan Johor sebagai ‘Sports Powerhouse’ menjelang tahun 2030.

 

“Manakala sebanyak RM2.3 juta bagi Program Gold Johor bagi memperbanyakkan lagi pencarian bakat atlet pelapis,” katanya.

 

Selain itu, beliau juga meninjau kemudahan papan luncur terletak di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) yang sebelum ini mengalami kerosakan dan agak berbahaya untuk digunakan penggemar sukan itu.

 

“Kerja-kerja pembaikan dan menaiktaraf kemudahan ini sudah bermula yang juga turut dilibatkan bersama Kelab Skateboard Selatan.

 

“Saya berharap kerja-kerja pembaikan ini dapat disempurnakan mengikut ketetapan masa yang sudah ditetapkan dan saya sendiri akan memantau dengan dekat supaya ianya dapat dimanfaatkan kembali oleh penggiat-penggiat sukan papan luncur khususnya di Johor Bahru,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor