JOHOR TERUS MENJADI PILIHAN PELABUR


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, salah satu agenda utama bagi menjayakan komitmen tersebut adalah memudahkan urusan untuk menjalankan perniagaan di negeri ini. | FOTO IHSAN, FB Lee Tin Hang

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri terus komited untuk menjadikan Johor sebagai negeri mesra perniagaan dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, salah satu agenda utama bagi menjayakan komitmen tersebut adalah memudahkan urusan untuk menjalankan perniagaan di negeri ini.

 

Menurutnya, langkah membangunkan negeri secara holistik itu selari dengan visi Maju Johor bagi menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

“Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuklah pertama, ‘Johor Fast Lane’ yang bertujuan untuk menyelaraskan proses kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

“Kedua, Jawatankuasa Pelaburan Johor yang menjadi platform untuk sektor awam dan swasta bertemu serta menyelesaikan isu. Ketiga, ‘Invest Johor’ sebagai pusat sehenti mewakili Kerajaan Negeri dalam hal berkaitan pelaburan dan lain-lain,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, beliau hadir memberikan pembentangan dalam Persidangan Pelaburan AffinMy di Menara Affin, Persiaran TRX, dekat Kuala Lumpur, yang disempurnakan perasmian oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

 

Ting Han berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan untuk mendapatkan pelaburan yang lebih berkualiti.

 

Beliau turut percaya Kerajaan Negeri bersedia untuk membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi hasil kerjasama dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

 

“Johor memperoleh pelaburan komited RM70.6 bilion tertinggi dalam negara pada tahun lalu. Untuk suku pertama tahun ini, kita mencatatkan RM10.6 bilion iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

“Kita menjangkakan sektor pelaburan akan kekal mengalami pertumbuhan yang teguh bagi tahun ini, seterusnya menyediakan sokongan diperlukan bagi pembangunan ekonomi negeri dan Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, Ting Han berkata, Johor memiliki ramuan kejayaan untuk memacu perniagaan berkembang maju termasuklah kedudukan strategik, pelaburan, lapangan terbang, institusi pendidikan tinggi dan teknikal serta tenaga kerja mahir.

 

“Menteri Ekonomi baru-baru ini menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan sedang meneroka untuk mewujudkan wilayah ekonomi serantau Johor-Singapura sebagai salah satu strategi untuk merancakkan lagi pembangunan negeri.

 

“Dengan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura dan Zon Kewangan Khas seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023. saya percaya ia akan menjadi ‘game changer’ untuk Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor