JOHOR BERADA DI LANDASAN TEPAT : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur selepas Johor berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.6 bilion bagi suku pertama tahun ini. | FOTO IHSAN: FB Onn Hafiz Ghazi

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib

ISKANDAR PUTERI — Johor berada di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan merekodkan pelaburan tertinggi dalam negara seperti tahun lalu.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur selepas Johor berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.6 bilion bagi suku pertama tahun ini.

 

Menurutnya, pencapaian dengan peningkatan tiga kali ganda berbanding suku pertama tahun lalu iaitu RM3.2 bilion itu amat membanggakan seluruh Bangsa Johor.

 

“Insya Allah Kerajaan Negeri yakin Johor berada di landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian tahun 2022, iaitu menjadi negeri yang mencatakan nilai pelaburan tertinggi negara berjumlah RM70.6 bilion.

 

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han serta semua pihak dan agensi berkaitan dan menyeru agar kita terus sama-sama berganding bahu bagi mengulangi kejayaan tahun lalu,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, keyakinan pelabur memilih Johor sebagai destinasi pilihan akan membolehkan hasrat menjadikan Negeri Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 akan tercapai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor