KERAJAAN JOHOR PRIHATIN KEBAJIKAN ORANG KURANG UPAYA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail menyantuni salah seorang kanak-kanak di pusat Cerebral Palsy. | Foto ihsan Facebook Khairin-Nisa Ismail

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan masyarakat termasuklah golongan kurang upaya selari dengan agenda Maju Johor.

 

Keprihatinan itu dizahirkan menerusi lawatan dan tinjauan susulan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail ke Persatuan Cerebral Palsy Johor serta Sekolah Pendidikan Khas Azalea.

 

Menurutnya, kehadirannya ke Persatuan Cerebral Palsy Johor itu bagi melihat status terkini kerja membaikpulih dan menaiktaraf Pusat Sumber dan Pusat Rehabilitasi persatuan tersebut.

 

“Alhamdulillah, beberapa kemudahan seperti peralatan teknologi dan alat pembelajaran di Pusat Sumber sudah dilengkapi dengan meja komputer boleh laras dan pemasangan komputer baharu untuk kegunaan anak-anak di pusat Cerebral Palsy.

 

“Manakala Pusat Rehabilitasi pula sedang dalam proses dirobohkan dan dibina semula oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya pada Ahad.

 

Selain itu, Khairin-Nisa berkata, kehadirannya ke Sekolah Pendidikan Khas Azalea untuk menyingkap perkembangan baharu mengenai infrastruktur yang perlu ditambah baik.

 

“Semoga pembaikpulihan dan penaiktarafan ini dapat selesai dalam jangka masa yang segera agar tumbesaran dan rawatan untuk anak-anak di pusat ini akan menjadi lebih kondusif dan produktif,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor