SEKTOR HARTANAH DI JOHOR SEMAKIN RANCAK
JOHOR BAHRU –– Sektor hartanah di Negeri Johor dilihat semakin rancak susulan berlaku perkembangan positif di dalam penurunan jumlah rumah tidak terjual.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata jumlah tersebut mencatatkan lebih 2,000 penurunan berbanding isu yang sama dihadapi oleh sektor berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
“Februari tahun lalu, lebih daripada 16,000 kediaman tidak terjual khususnya unit apartmen di Johor, namun jumlah itu berkurang, di mana ketika ini hanya tinggal 13,683 unit kediaman tidak terjual.
“Untuk mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan dengan pemaju hartanah bagi mengkaji kaedah terbaik yang membolehkan situasi menang-menang antara pemaju dan pembeli,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Hartanah Johor 2023 di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, beliau juga tidak mahu projek-projek perumahan di Negeri Johor menjadi projek ‘gajah putih’ kerana hasrat utama Kerajaan Negeri adalah untuk menyediakan kemudahan perumahan yang terbaik kepada rakyat.
“Saya percaya kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) diperlukan untuk memperbanyak projek perumahan buat segenap lapisan masyarakat,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor