TERPESONA DENGAN KESANTUNAN PUTERA SULTAN JOHOR
KLUANG — Menyahut permintaan Putera Sultan Johor melakukan demonstrasi sukan memanah tradisional menjadi kenangan tidak akan dilupakan buat Qhidir Fiqri Shah Ahmad Shah, 33.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kelab Sukan Memanah Tradisional Kluang (KOMTRA) akui berasa gemuruh apabila diminta untuk berbuat sedemikian.
“Tunku (Panglima Johor) secara spontan meminta untuk menunjukkan demonstrasi memanah. Saya bersama seorang lagi ahli kelab berasa berbesar hati untuk mempersembahkan demonstrasi.
“Perasaan gemuruh itu ada, pertama kali menyantuni paduka anakanda Sultan Johor. Alhamdulillah, pengalaman ini amat berharga kepada saya dan keseluruhan ahli kelab,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di Taman Eko Rimba Sungai Temiggol, di sini, sempena Kembara Mahkota Johor 2023.
Terdahulu, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta Dato’ Dennis Muhammad Abdullah menunjukkan kemahiran memanah dalam rombongan Keluarga DiRaja Johor itu.
Qhidir Fiqri Shah berkata, sikap penuh santun dan ramah paduka anakanda Sultan Johor amat disanjung tinggi, apatah lagi mengambil tahu jumlah keahlian KOMTRA.
Ujarnya, beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsikan fadilat memanah tradisional yang juga merupakan sunnah junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
“Kami memberikan taklimat demonstrasi memanah teknik tiga jari (Mediterranean) dan teknik panahan ‘thumb’. Sangat istimewa kerana dapat bersua muka bersama paduka anakanda Sultan Johor,” katanya yang memaklumkan KOMTRA mempunyai keahlian lebih 50 orang majoritinya di kalangan anak muda.
Taman Eko Rimba Sungai Temiggol, dekat Kampung Sri Lukut merupakan destinasi pertama persinggahan rombongan Kembara Mahkota Johor 2023 untuk hari kedua.
DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mengetuai rombongan Keluarga Diraja Johor berkenan menandatangani plak perasmian Taman Eko Rimba Sungai Temiggol dan menyertai aktiviti disediakan.
Antara aktiviti lain adalah demonstrasi masakan ‘signature dish’ Mukim Kahang iaitu asam pedas ikan baung, udang galah cili padi dan ikan pais masak tempoyak.
Selain itu, persembahan taklimat khemah survival, sukan air rakyat, pertandingan tarik tali, penyampaian sumbangan, persembahan keroncong serta pameran kraftangan.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor