2,023 BETTA PERSEPHONE DILEPASKAN
MUAR — Sebanyak 2,023 ekor ikan Betta Persephone dilepaskan di tapak konservasi ikan di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara sempena Kembara Mahkota Johor 2023.
Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah berkenan menerima taklimat dan menyempurnakan pelepasan ikan laga berkenaan di lokasi itu.
Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab berkata, Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara merupakan satu-satunya lokasi konservasi Betta Persephone di dunia.
“Amat unik sekali sebab ikan ini hanya dijumpai di sini sahaja. Tidak dijumpai di tempat lain, sebab itu ikan ini sangat istimewa.
“Sekiranya ikan ini dijumpai di tempat lain, (berkemungkinan besar) di bawa dari lokasi ini. Kerana ia hidup di kawasan paya gambut yang berasid,” katanya kepada Media Digital Johor.
Zainudin berkata, berdasarkan usaha pembiakan spesis ikan laga itu di makmal mendapati ikan Betta Persephone hanya akan bertelur antara 20 hingga 30 biji sahaja.
Ujarnya, pihaknya akan terus berusaha untuk melakukan pembiakan dan melepaskan lebih banyak ikan tersebut di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara pada masa akan datang.
“Kita berhasrat untuk melepaskan lebih banyak ikan ini secara berkala. Langkah ini untuk memastikan sumber Betta yang ada (di habitat) terus meningkat dan bertambah dari masa ke masa.
“Sekiranya diuar-uarkan kepada masyarakat umum, sudah tentulah kawasan ini akan menjadi tarikan kepada para saintis dan juga pelancong yang ke Johor,” katanya.
Untuk rekod, selain Betta Persephone, terdapat juga tiga spesis lain iaitu Betta Bellica, Betta Coccina dan Betta Pugnax.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor