SENYUMAN DYAM TMJ, PADUKA ADINDA JADI PEMBAKAR SEMANGAT


Pasukan persembahan kebudayaan yang melibatkan Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JOYDEC) Batu Pahat dan pelajar Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat serta 20 artis budaya. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

BATU PAHAT –– “Alhamdulillah, kami perasan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Paduka Adinda tersenyum melihat gelagat persembahan kami dan itu umpama satu penghargaan terbesar untuk kami,” kata Penyelia Persembahan Kebudayaan, Mohd Faizal Abas.

 

Mohd Faizal berkata, ia sekali gus memadam rasa gementar dalam diri pasukannya yang hanya mempunyai tempoh kira-kira dua minggu sahaja untuk membuat latihan sebelum membuat persembahan kebudayaan di hadapan rombongan Kembara Mahkota Johor 2023.

 

“Memang ada rasa sedikit gemuruh dalam diri kami semua kerana untuk mencipta satu persembahan memerlukan ketelitian terutama dari segi reka tari atau koreografi, tema persembahan dan elemen kebudayaan yang ingin ditampilkan dalam tempoh yang singkat.

 

“Namun, Alhamdulillah, saya ada perasan Baginda Tunku dan Paduka Adinda tersenyum melihat gelagat persembahan kami. Malah, reaksi daripada hadirin juga membantu melancarkan lagi persembahan kami.

 

“Terus terang saya katakan, apabila nampak Baginda Tunku senyum tu… memang rasa berbaloi. Sebab kami berlatih hanya dalam tempoh dua minggu. Terima kasih kepada pasukan kerana berjaya merealisasikannya,” katanya.

 

Bercakap mengenai persembahan itu, beliau yang juga Penyelia Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JOYDEC) Batu Pahat berkata, seramai 80 peserta terdiri daripada 60 pelajar Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat dan 20 artis budaya termasuk sukarelawan telah menjayakan persembahan tersebut.

 

“Konsep yang diketengahkan adalah semangat kesetiaan Bangsa Johor itu sendiri selain kami menerapkan elemen kehidupan warga petani dan suasana perkampungan.

 

“Kita juga turut menggarapkan nilai-nilai silang budaya bagi mencerminkan semangat muafakat Bangsa Johor dengan memasukan kombinasi tarian dari kaum Cina dan India,” katanya.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berangkat ke Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat bersempena Kembara Mahkota Johor 2023.

 

Turut berangkat, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam; YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Faizal juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Keluarga DiRaja Johor di atas perkenan menyaksikan persembahan kebudayaan berdurasi 20 minit itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor