ACL 2023: ‘SUPER SUB’ AKHYAR PASTIKAN JDT RAIH TIGA MATA PENTING


Jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-87 sudah cukup menoktahkan kemenangan 2-1, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC ke atas Ulsan Hyundai FC, semalam. | Foto MDJ Wira Anggara.

 

Ketika permainan berbaki 10 minit menuju penghujung perlawanan, Akhyar Rashid sebagai pemain gantian muncul wira apabila meledakkan jaringan sekali gus memberikan kemenangan buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai dengan jaringan 2-1, semalam.

 

Jaringan pada minit ke-87 yang dilakukan dalam perlawanan keempat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, membuktikan mengapa beliau terkenal dengan jolokan ‘Super Sub’ di kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya peminat setia JDT.

 

Atas faktor kualiti permainan dan kemahiran individu yang dimiliki selain prestasi bersama Skuad Kebangsaan menjadi dorongan buat pengendali JDT, Esteban Solari memasukkan Akhyar pada minit-minit akhir perlawanan.

 

Menceritakan detik manis jaringan yang terhasil, pemain berusia 24 tahun itu akui menjadi impiannya untuk menghasilkan jaringan di peringkat tertinggi (antarabangsa) malah tidak menjangka menjadi realiti dalam kempen ACL.

 

Sementara itu, Solari menzahirkan kegembiraan atas kemenangan ke atas Ulsan Hyundai yang bermain dengan cukup baik dengan memberikan tekanan dan asakan berbahaya ke gawang JDT.

 

Skuad Harimau Selatan bakal bertemu semula dengan wakil Jepun, Kawasaki Frontale FC bagi meneruskan aksi kelima Kumpulan I ACL 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Kawasaki Todoroki pada 28 November ini.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor