AIR TERJUN GUNUNG LEDANG DIBUKA SEMULA JULAI INI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pembukaan semula kawasan rekreasi yang telah ditutup sejak Jun tahun lalu itu bakal diserikan lagi dengan penganjuran Karnival Gunung Ledang. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi 

 

ISKANDAR PUTERI — Kawasan rekreasi eko-pelancongan Air Terjun Gunung Ledang akan dibuka semula kepada umum bulan depan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pembukaan semula kawasan rekreasi yang telah ditutup sejak Jun tahun lalu itu bakal diserikan lagi dengan penganjuran Karnival Gunung Ledang.

 

“Saya gembira dengan pemakluman dari Pengurusan Air Terjun Gunung Ledang yang akan menyediakan tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan juga tapak kenderaan rekreasi ‘caravan’ bagi menambah daya tarikan pelancong ke kawasan ini.

 

“Kerajaan Negeri optimis untuk memastikan gunung tertinggi di Johor ini sentiasa dikunjungi selain akan giat mempromosikan Gunung Ledang,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor merangkap ADUN Serom, Hajah Khairin-Nisa Ismail.

 

Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Ungku Mohd Zaffrin Ungku Mohd Zaman dan Pentadbir Tanah Tangkak, Mohd Nazid Jasiman.

 

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan lawatan kerja ke kawasan rekreasi terkenal itu bagi melihat sendiri kerja-kerja menaik taraf serta baik pulih kawasan rekreasi Air Terjun Gunung Ledang pada Jumaat.

 

Beliau turut meluangkan masa meninjau kemudahan di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda) yang terletak bersebelahan dengan pusat rekreasi berkenaan.

 

Tambah Onn Hafiz, beliau akan membuat penelitian terhadap keperluan perancangan rapi bagi menaik taraf chalet dan pondok di situ sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung.

 

“InsyaAllah, saya akan mengadakan pertemuan bersama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memperhalusi segala keperluan dan bajet untuk menaik taraf dan mempromosikan Gunung Ledang ini dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan kawasan rekreasi itu apabila ia sudah dibuka kepada umum kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor