KERAJAAN NEGERI SASAR ‘ZERO KEROSAKAN’ INFRASTRUKTUR TANDAS SAKJ MENJELANG OGOS


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan Kempen Sekolahku Sejahtera-1T bertujuan memastikan semua infrastruktur tandas di seluruh SAKJ dibaik pulih dan ditambah baik. | Foto MDJ: Nurina Aisyah.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri meletakkan sasaran ‘zero kerosakan’ terhadap infrastruktur tandas Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) menjelang Ogos tahun ini menerusi Kempen Sekolahku Sejahtera-1T.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata kempen tersebut bertujuan memastikan semua infrastruktur tandas di seluruh SAKJ dibaik pulih dan ditambah baik serta dapat digunakan dengan sewajarnya.

 

“Pelaksanaan kempen ini melibatkan 585 SAKJ di seluruh Johor dan memfokuskan sasaran ‘zero kerosakan’ menjelang Ogos ini. Ia susulan daripada aduan yang dikemukakan pihak SAKJ yang mengalami beberapa kerosakan tandas yang perlu diberi perhatian.

 

“Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (BPI-JAINJ) telah pun mendapatkan data lengkap berkaitan kerosakan tandas daripada Pegawai Pendidikan Agama Islam di setiap daerah setelah menjalankan pemeriksaan dan penelitian ke atas kerosakan yang berlaku,” katanya.

 

Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru, Samsuddin Mahdi baru-baru ini, meninjau kerosakan di Sekolah Agama Taman Universiti.

 

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru, Samsuddin Mahdi, berkata antara kerosakan dikenal pasti sering berlaku di kebanyakan SAKJ adalah masalah tandas tersumbat, pam tandas tidak berfungsi dengan baik dan sebagainya.

 

“Menjadi kebimbangan apabila tandas tidak dapat berfungsi dengan baik oleh murid-murid ketika hendak menggunakannya kerana ia membabitkan kebersihan dan kesucian.

 

“Dalam Islam, kesucian amat penting kerana ia berkait rapat dengan ibadah. Umat Islam perlu dalam keadaan bersuci daripada sebarang hadas (kekotoran) untuk membaca al-Quran, beriktikaf, bersolat dan sebagainya.

 

“Kempen ini diharap mendapat kerjasama yang sangat baik sama ada di peringkat guru (SAKJ), pentadbiran, murid-murid dan masyarakat, sekali gus memberi impak positif kepada seluruh warga SAKJ,” katanya selepas menjalankan tinjauan ke Sekolah Agama Taman Universiti di sini, baru-baru ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor