LEBIH 300 TAN SAMPAH DIKUTIP SEJAK JOHOR BERSIH DILANCARKAN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, hampir 20,000 peserta daripada jabatan negeri, jabatan persekutuan, Ahli-Ahli Majlis PBT, SWCorp dan SWM Environment serta penduduk setempat dalam tempoh tersebut. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 311 tan sampah berjaya dikutip di 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, sejak program Johor Bersih dilancarkan dilancarkan pada Julai 2022 hingga hujung Mei lalu.

 

Kesemua sampah itu dikutip menerusi aktiviti ‘plogging’ dan Jalan Angkat (PJA) dilaksanakan pada setiap hari Ahad meliputi pelbagai lokasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, hampir 20,000 peserta daripada jabatan negeri, jabatan persekutuan, Ahli-Ahli Majlis PBT, SWCorp dan SWM Environment serta penduduk setempat dalam tempoh tersebut.

 

“Sebagaimana dipersetujui oleh Mesyuarat Penyelarasan bersama Menteri Besar Johor pada 29 Mei lalu, Program Johor Bersih memerlukan penglibatan semua pihak termasuk PBT, Pejabat-Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta jabatan dan agensi lain seperti Southern Volunteers (SV), badan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat setempat.

 

“Selain itu, sidang mesyuarat juga telah bersetuju nagi PBT Negeri Johor melaksanakan Zon Johor Bersih dengan merujuk pelaksanaan yang telah dijalankan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang diketuai oleh Datuk Bandar Johor Bahru,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz; ADUN Skudai, Marina Ibrahim; ADUN Penawar, Fauziah Misri dan ADUN Tiram, Azizul Bachok secara bersekali pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, pada Khamis.

 

Mohd Jafni berkata, bagi tindakan penguat kuasaan, cadangan pindaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) pula melibatkan biadang kuasa Kerajaan Persekutuan.

 

“Namun begitu, untuk menyeimbang peranan menjaga kebersihan alam sekitar di negeri ini melalui penguat kuasaan oleh PBT, Kerajaan Negeri akan menyelaras larangan dan penguat kuasaan bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dengan mengguna pakai punca kuasa yang seragam.

 

“Merujuk kepada Seksyen 46 dan 47 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang akan diperhalusi oleh setiap PBT mengikut kesesuaian Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan Jalan Parit dan Bangunan di mana pesalah atau pelaku boleh dibawa ke hadapan sesuatu Mahkamah Majistret.

 

“Selain itu, semakan perundangan juga sedang dibuat dan dalam proses kelulusan Pihak Berkuasa Negeri bagi melibatkan pelaksanaan penyeragaman penguat kuasaan di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran di bawah Akta 171 di mana pengenaan kompaun bernilai RM50 hingga RM250 di lapangan oleh anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan sebanyak 694.4 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dengan penyertaan 1,500 orang dalam Program Johor Bersih Perdana di Legaran Segget, Johor Bahru pada 7 Mei yang lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor