AKADEMI JCS TERUS MELAHIRKAN GRADUAN CEMERLANG UTM


Graduan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) bergambar di hadapan Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia sempena Majlis Konvokesyen ke-67 UTM. [Foto MDJ Nurina Aisyah]

Seramai 20 Pegawai Tadbir Negeri Johor menerima Diploma Profesional PascaSiswazah Pengurusan Tanah daripada Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Majlis Konvokesyen ke-67 UTM kali ini.

 

Graduan, Mohammad Irfan Akmal Mohammad Ghazali yang kini bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Tangkak, memberitahu beliau berasa gembira di samping bersyukur selepas segala penat lelah yang telah dilalui sepanjang tempoh pengajian akhirnya berbaloi apabila meraih segulung diploma berkenaan.

 

“Sepanjang tempoh pengajian, isteri saya dalam keadaan mengandung dan kini isteri sudah selamat melahirkan anak. Untuk itu, pembahagian masa sangat kritikal buat diri saya kerana perlu fokus kepada keluarga, karier dan juga pembelajaran. Alhamdulillah saya mampu untuk habiskan pengajian sehingga ke hari bahagia ini. Jika ada peluang, saya akan terus menyambung ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” ujarnya.

 

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam, Nurul Izzah Mohd Zober menerima baik inisiatif Kerajaan Johor dalam Belanjawan Johor 2024 yang turut memberi fokus kepada penjawat awam Negeri Johor untuk meningkatkan tahap pendidikan, profesionalisme dan kepakaran dalam melaksanakan tugas masing-masing kelak.

 

“Bagi saya ini adalah ruang dan peluang kepada semua penjawat awam khususnya kepada Pegawai Tadbir Negeri Johor. Dengan adanya peluang sebegini, kita dapat memartabatkan ilmu dan juga perkhidmatan sedia ada. Secara tak langsung, program yang diadakan oleh Akademi JCS dan UTM ini dapat mempertingkatkan mutu taraf penjawat awam di Negeri Johor,” katanya.

 

Berikutan kejayaan itu, Mohammad Irfan dan Nurul Izzah turut berterima kasih kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani kerana memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian. Mereka turut bersyukur kerana dapat menambah ilmu pengetahuan dan pada masa sama akan dapat membantu meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja kelak.

 

#AkademiJCS
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor