USAHAWAN OKU MAHU KEMBANGKAN TERNAKAN KELULUT


Pengusaha ternakan lebah kelulut, Amirul Nabil Jamaludin. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Geran Agropreneur Muda (GAM) bernilai RM20,000 ditawarkan menerusi Program Agropreneur Muda menjadi pembakar semangat kepada seorang usahawan berstatus orang kurang upaya (OKU) untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

 

Pengusaha ternakan lebah kelulut, Amirul Nabil Jamaludin, 28, mahu memanfaatkan geran tersebut untuk berpindah ke kawasan yang lebih luas memandangkan kadar tuaian madu kelulut diusahakannya semakin meningkat.

 

“Selepas menerima geran ini, saya akan tambah kapasiti pengeluaran kepada 60 hingga 70 sarang berbanding 40 sarang sebelum ini. Madu kelulut memerlukan sekurang-kurangnya 30 sarang sebelum boleh dikomersialkan ke pasaran tempatan khususnya dalam daerah Kluang.

 

“InsyaAllah pada tahun depan saya akan berpindah daripada kawasan seluas satu ekar di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam ke Kampung Sumber Jaya juga di Simpang Renggam berkeluasan empat ekar,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Amirul yang mempunyai masalah penglihatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Johor dan Pejabat Pertanian Daerah Kluang yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepadanya sebagai usahawan OKU dalam menceburi bidang ternakan lebah kelulut.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor