AKADEMI JDT JULANG DUA PIALA BAGI MENUTUP MUSIM 2023


Akademi JDT B17 ditabalkan sebagai Juara Piala Liga Bola Sepak KPM 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup kalendar musim 2023 dengan penuh bergaya apabila berjaya menjuarai Puma Youth Champions League dan Piala Liga Bola Sepak KPM 2023 Bawah 17 tahun di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, semalam.

‘Ubi Muda’ JDT sepatutnya turut mendakap satu lagi kejuaraan iaitu Piala Liga Bola Sepak KPM 2023 Bawah 14 tahun namun skuad Akademi JDT B14 terpaksa akur dengan keampuhan jentera Akademi Mokhtar Dahari (AMD) apabila tewas tipis 2-3 walaupun suatu ketika mendahului lawan dengan 2-0.

Pada aksi petang semalam itu, Akademi JDT B12 yang beraksi dalam kejohanan Puma Youth Champions League menundukkan pasukan Island City FC dari Singapura dengan jaringan 8-2. Perlawanan penamat liga tersebut merekodkan 22 mata secara keseluruhan selepas 10 perlawanan, sekali gus menobatkan Akademi JDT B12 sebagai juara Piala Juara Kejohanan Puma Youth Champions League 2023.

Perlawanan akhir Piala Liga Bola Sepak KPM 2023 kategori bawah 17 tahun menyaksikan Akademi JDT B17 berjaya menewaskan Sekolah Sukan Negeri Perlis (SSN Perlis) dengan keputusan 1-0.

Hasil jaringan tunggal pemain Johor, Abid Safaraz Rozaidi kekal sehingga ke wisel penamat, sekali gus menjulang Akademi JDT B17 sebagai Juara Piala Liga Bola Sepak KPM 2023. Lebih manis, Abid Safaraz turut dianugerahkan ‘Penyerang Terbaik’ sepanjang kejohanan Liga Bola Sepak KPM 2023 Bawah 17 tahun.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh.

 

#SukanMDJ #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor