MOHON TIGA CADANGAN DIPERTIMBANGKAN UNTUK JAYAKAN SEZ


Kerajaan Negeri memaklumkan tiga cadangan bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri memohon Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Singapura mempertimbangkan tiga cadangan bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

 

Pertama, inisiatif seperti visa kemasukan berganda, pas khas serta kakitangan imigresen dan kastam yang mencukupi. Selain itu, Negeri Johor berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kaedah digital iaitu sistem QR Code seperti dilaksanakan oleh Kerajaan Singapura bermula 1 Januari 2024 bagi melancarkan pergerakan di sempadan negara.

 

Kedua, melengkapkan infrastruktur utama seperti laluan khas daripada Link Kedua ke Forest City, pembinaan transit aliran ringan (LRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), perkhidmatan feri dan kemudahan ‘landing point’ untuk teksi udara.

 

Ketiga, insentif fiskal merangkumi percukaian seperti cukai korporat dan individu, duti eksais dan elaun cukai pelaburan.

 

Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Invest Johor akan berperanan memastikan pelaburan ke zon khas berkenaan dapat dilonjakkan dengan berfungsi sebagai pusat sehenti.

 

Zon Kewangan Khas (SFZ) yang merupakan sebahagian daripada SEZ juga akan menarik pemain industri kewangan antarabangsa khususnya dari Singapura untuk mengembangkan cawangan atau perkhidmatan sokongan mereka di Forest City.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut akan terus memberikan perhatian dan komitmen kepada pembangunan yang bakal memberikan faedah dan limpahan ekonomi ke seluruh negeri ini.

 

Menteri Besar berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor