AKADEMI PERKHIDMATAN TADBIR NEGERI JOHOR, AKADEMI AUDIT NEGARA METERAI NOTA KERJASAMA


YB Dato’ Dr. Haji Badrul Hisham Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) memeterai Nota Kerjasama dengan YBrs. Puan Baridatul Anita Bidin, Pengarah Akademi Audit Negara (AAN). | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) memeterai Nota Kerjasama dengan Akademi Audit Negara (AAN) bagi memantapkan aspek pengurusan dan tatakelola dalam kalangan pegawai serta anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

 

Jalinan kerjasama berkenaan membuka lembaran baharu urus tadbir di negeri ini seterusnya mencerminkan kesungguhan APTNJ dalam memperkasa perkhidmatan awam terutama berkaitan pengurusan kewangan.

 

Selain itu, kerjasama tersebut juga membolehkan Pegawai Tadbir Negeri Johor dan anggota perkhidmatan awam negeri menjalani kursus dan latihan berkaitan pengauditan sekali gus menjadikan Johor sebagai contoh negeri maju memiliki pengurusan serta tatakelola yang baik.

 

Sejak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif APTNJ pada Januari lalu, YB Dato’ Dr. Haji Badrul Hisham Kassim komited mempelbagaikan latihan dan pembangunan Pegawai Tadbir Negeri Johor serta anggota perkhidmatan awam negeri.

 

Latihan dan pembangunan secara profesional yang dirancang oleh APTNJ merangkumi pelbagai bidang seperti pengurusan tanah, tadbir urus, kepimpinan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara menyaksikan Majlis Memuktamadkan Nota Kerjasama antara APTNJ dan AAN yang disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Haji Badrul Hisham Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif APTNJ dan YBrs. Puan Baridatul Anita Bidin, Pengarah AAN.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor