SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA NEGERI JOHOR DIARAHKAN BATAL SAAT AKHIR

Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di FELDA Ulu Belitong, Kluang tidak diteruskan selepas FELDA Negeri Johor menerima arahan berhubung pembatalannya.| Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Hanya berbaki tiga hari sebelum penganjuran sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun ini, namun Kerajaan Negeri kelmarin dimaklumkan oleh pihak FELDA Negeri Johor telah menerima arahan supaya acara tahunan berkenaan tidak diteruskan.
Ia secara tidak langsung bakal ‘mengecewakan’ warga FELDA di negeri ini yang sememangnya amat menantikan sambutan Hari Peneroka Negeri Johor yang begitu sinonim sebagai wadah menghimpunkan warga tanah rancangan berkenaan dalam suasana penuh muafakat dan kebersamaan.
Keputusan yang dimaklumkan pada 16 Jun itu dibuat ketika hanya berbaki empat hari sebelum program berlangsung, meskipun segala persiapan dan penyelarasan telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu.
Bagi tahun ini, Kerajaan Johor bersama pihak FELDA telah merancang pelbagai pengisian bagi meraikan serta menghargai jasa dan sumbangan warga peneroka serta generasi FELDA yang menjadi antara tulang belakang pembangunan negeri dan negara ini.
Antara program utama yang dijadualkan berlangsung termasuk penyerahan hak milik tanah kepada 210 peneroka, selain pelbagai program pembangunan komuniti, pameran agensi, aktiviti belia dan keluarga serta inisiatif kebajikan yang berupaya memberi manfaat secara langsung kepada warga FELDA.
Sambutan tersebut juga dirancang sebagai kemuncak kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Johor untuk masyarakat FELDA sepanjang tahun, termasuk Bantuan Kasih Johor, Bakul Kasih Johor, pembangunan infrastruktur, pemberian lot generasi kedua serta geran kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
Komitmen itu diterjemahkan menerusi peruntukan melebihi RM35 juta yang disalurkan Kerajaan Johor kepada warga FELDA bagi tempoh 2022 hingga Jun 2026, sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa kesejahteraan dan pembangunan komuniti FELDA di seluruh Johor.
Sebagai persediaan menjayakan program tersebut, Kerajaan Johor telah meluluskan peruntukan kepada pihak FELDA, selain melaksanakan pelbagai persiapan dan penyelarasan bersama jawatankuasa di peringkat rancangan dengan lebih 5,000 warga FELDA daripada 73 tanah rancangan di seluruh Johor turut mengesahkan kehadiran.
Terdahulu, perkara itu dimaklumkan oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta memohon maaf kepada warga FELDA atas penangguhan program berkenaan.
#JohorSafeZone
#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


