CABAR DIRI SERTAI ‘SPARTAN TRIFECTA WEEKEND’


Peserta akan dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu 5KM beserta 20 halangan; (10KM beserta 25 halangan) dan 21KM beserta 30 halangan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki ternyata tidak menghalang seorang anggota pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) untuk menyertai acara sukan lasak Spartan Trifecta Weekend yang berlangsung dari semalam hingga hari ini di Pusat Sukan Estuari, Iskandar Puteri.

 

Ahmad Akmal Ahmad Arshad, 33, bertugas di ATSNJ Kem Sultan Ibrahim Johor Bahru memberitahu keputusannya untuk menyertai kejohanan antarabangsa itu bukan sahaja sebagai ‘fisioterapi’ untuk memulihkan diri daripada kecederaan patah buku lali kaki, tetapi juga untuk mencabar keupayaannya sebagai seorang tentera.

 

Meskipun berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh 1 jam 52 minit bagi acara halangan 10 kilometer (KM), namun ia bukan catatan yang terbaik yang pernah dicatatnya dalam beberapa siri kejohanan lain seumpama itu.

 

“Untuk penanda aras mahu pun sasaran untuk diri sendiri, saya masih tidak berpuas hati. Saya mengalami patah buku lali setahun lepas dan saya jadikan perlumbaan hari ini sebagai pemangkin untuk menaikkan moral diri. Walaupun dengan keadaan tidak ‘fully fit’, saya masih mampu menghabiskan perlumbaan 10KM.

 

“Selain itu, apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan Johor di mata dunia sebagai tuan rumah perlumbaan Spartan ini wajar dipuji. Ini dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Johor menerusi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa seperti ini,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Spartan Trifecta Weekend adalah perlumbaan yang menguji penuh tahap mental, fizikal, dan jati diri untuk mendapatkan sebuah lencana penghormatan atau medal Trifecta.

 

Bagi edisi pertama ini, peserta akan dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu 5KM beserta 20 halangan; (10KM beserta 25 halangan) dan 21KM beserta 30 halangan. Peserta yang berjaya menamatkan ‘misi khas’ ini akan dikalungkan medal Trifecta yang sebenar.

 

Apa yang menarik, pihak Spartan Race turut menyediakan kategori khusus untuk kanak-kanak iaitu perlumbaan 1KM hingga 3KM berserta dengan halangan peringkat peserta cilik.

 

#SpartanTrifecta2024
#SpartanRaceMY
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor