JPDC LAKSANA PROGRAM LATIHAN KEPADA 6,500 TENAGA KERJA


Pemangku Ketua Eksekutif JPDC, Izhar Hifnei Ismail bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023.

 

JOHOR BAHRU — Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) melaksanakan program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada hampir 6,500 tenaga kerja industri hiliran minyak dan gas serta petrokimia.

 

Pemangku Ketua Eksekutif JPDC, Izhar Hifnei Ismail berkata, program ‘upskilling and reskilling’ itu dilaksanakan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sepanjang tahun 2013 hingga Jun lalu.

 

Menurutnya, dua inisiatif besar yang dilaksanakan adalah Program Kemahiran Minyak dan Gas (SOGA) dan Program ‘Bridging Gaps’ dengan sokongan dana daripada Kementerian Ekonomi.

 

“Jumlah tersebut merangkumi 1,990 tenaga kerja yang telah menyempurnakan dan sedang menjalani Program SOGA. Ini adalah program latihan kemahiran teknikal dengan matlamat mempersiapkan tenaga kerja dengan tahap kecekapan dan pensijilan mandatori yang berkaitan dalam bidang-bidang kerja seperti yang diperlukan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC atau tempat lain di Malaysia.

 

“Program SOGA telah berjalan sejak tahun 2020, menawarkan 45 kursus teknikal berkaitan pemulihan loji termasuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, pengurusan keselamatan dan pengurusan tenaga, kesemuanya kerja-kerja penting bagi memastikan kelancaran operasi loji-loji di PIPC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023, pada Sabtu.

 

Izhar berkata, kesemua peserta Program SOGA kumpulan 2020, 2021 dan 2022 telah berjaya mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan kursus masing-masing.

 

“Untuk Program SOGA 2022, seramai 305 belia tempatan dari daerah kecil Pengerang telah menyempurnakan kursus-kursus berkaitan bagi mempersiapkan mereka untuk diambil bekerja oleh lima kontraktor ‘turnaround main mechanical and maintenance mechanical static’ (TA4MS) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) milik PETRONAS di dalam kawasan PIPC,” katanya.

 

Sementara itu, bagi Program ‘Bridging Gaps’, beliau berkata, program bermula tahun 2016 itu memberi penekanan kepada penyediaan latihan pengalaman kerja untuk siswazah universiti tempatan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

 

“Di bawah program ini, siswazah berpeluang mendapatkan kemahiran dan meningkatkan pemahaman mereka tentang peranan jurutera loji penapisan, jurutera medan dan jurutera penyelenggaraan dalam persekitaran loji minyak dan gas.

 

“Sebanyak 750 siswazah telah melalui program sepanjang tempoh dari 2016 hingga 2022. Kira-kira 70 peratus daripada peserta program berjaya mendapatkan pekerjaan dengan syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan minyak dan gas hiliran serta petrokimia di Malaysia,” katanya.

 

Izhar berkata, selain daripada dua program berkenaan, JPDC juga mengatur kursus latihan untuk pekerja binaan mengikut jenis kemahiran yang diperlukan oleh kontraktor pembinaan PIC sepanjang tempoh 2013 hingga 2019.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor