ANAK JOHOR REKA JALUR GEMILANG


Sumbangan besar Allahyarham Mohamed Hamzah dalam mereka bendera Jalur Gemilang sentiasa dikenang dan dihargai selain menjadi lipatan sejarah negara. | Foto ihsan Arkib Negara

 

Siapa Pereka Jalur Gemilang?

 

Mohamed bin Hamzah merupakan seorang pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sering diberikan tugas oleh DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar seperti mereka bentuk Jata Negeri Johor serta mencipta kad jemputan rasmi DiRaja.

 

Graduan seni dari Kolej Raffles, Singapura, yang merupakan perekacipta Jalur Gemilang ini turut pernah ditugaskan melukis dan menyelia pembinaan Pintu Gerbang Mahkota di Pantai Lido selain melukis seni bina bangunan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti Dewan Jubilee Intan, Pejabat Pos Johor Bahru serta Masjid Jamek Mersing.

 

Kisah penciptaan bendera Malaysia bermula apabila satu pertandingan diadakan pada tahun 1949 bagi mencari reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu. Anak jati Johor ini telah menyertai malah menjadikan bendera Johor yang mempunyai bulan bintang Uthmaniyah sebagai ilham penghasilan bendera Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

 

Susulan daripada itu, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memilih bendera Persekutuan Tanah Melayu dan jawatankuasa yang diketuai oleh Sir Alex Newboult, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1949, kemudiannya membawa reka bentuk bendera ke London dan mendapat kelulusan King George VI pada tahun 19 Mei 1950.

 

Setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan serta King George VI, maka bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur pada 26 Mei 1950.

 

Mengapa dipanggil Jalur Gemilang?

 

Pada tahun 1997, Tan Sri Dato Sri Ahmad Sarji Abd. Hamid yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia merangkap Ketua Setiausaha Negara telah mengetuai Mesyuarat Pemilihan Bendera Malaysia melibatkan lima jabatan dan agensi Kerajaan.

 

Kesemua yang terlibat adalah Kementerian Kewangan; Kementerian Perpaduan Negara Pembangunan Masyarakat; Dewan Bahasa dan Pustaka; Jabatan Arkib Negara Malaysia; Jabatan Muzium dan Antikuiti serta Urusetia yang bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dan Urusetia telah mengemukakan 28 cadangan nama bersesuaian bagi bendera Malaysia.

 

Setelah penelitian dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa, mesyuarat memutuskan tiga daripada 28 cadangan nama mengikut keutamaan yang diterima sebelum Mesyuarat Kabinet memilih Jalur Gemilang yang dicadangkan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai nama rasmi bendera Malaysia.

 

Pengisytiharan nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia diadakan pada 31 0gos 1997 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri Keempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sesungguhnya sumbangan besar Allahyarham Mohamed Hamzah sentiasa dikenang dan dihargai selain menjadi lipatan sejarah negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor