BUKAN RUNTUH, TAPI SEBAHAGIAN DARIPADA KERJA PENAMBAHBAIKAN MASJID


Keadaan dalam dewan utama solat di Masjid Taman Pulai Indah, Johor Bahru yang sedang dijalankan kerja pembaikan. | Foto Ihsan Masjid Pulai Indah.

 

Video tular di media sosial yang memaparkan keadaan siling Masjid Taman Pulai Indah, Johor Bahru yang dilihat seolah-olah runtuh hanyalah sebahagian daripada proses penambahbaikan yang sedang dijalankan oleh pihak pengurusan masjid berkenaan.

 

Pengerusi Masjid Taman Pulai Indah, Alpian Jamid memaklumkan kepada Media Digital Johor bahawa kerja menaiktaraf sedang dilaksanakan susulan dua keping siling ‘cornice’ terjatuh sebelum pihak masjid bersama konsultan pembinaan bersetuju untuk menurunkan baki siling masjid berkenaan.

 

Justeru, kejadian yang digambarkan menerusi video yang tular berkenaan hanyalah sebahagian daripada kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan dan bukanlah kejadian siling runtuh yang serius.

 

Sementara itu, memetik kenyataan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Sabtu, beliau memaklumkan proses pembaikan sedang dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala kos pembaikan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

 

Mohd Fared berkata, tiada aktiviti solat atau ibadah dibenarkan di kawasan dewan solat utama namun aktiviti di kawasan luar perkarangan masjid dibenarkan sehingga pihaknya menerima laporan keselamatan daripada JKR.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat setempat.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor