KERAJAAN NEGERI KOMITED ATASI ISU KEKURANGAN PARKIR HSA


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon pelbagai inisiatif lain juga diambil bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di HSA. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa proaktif dalam mengatasi cabaran kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru demi keselesaan pesakit dan pelawat ke hospital berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, isu kesukaran mendapatkan tempat letak kenderaan antara yang dibangkitkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika melawat HSA pada 28 Ogos lalu.

 

Menurutnya, Menteri Besar telah berbincang dan mendapatkan persetujuan daripada pihak pemaju untuk membuka ruang serta menyedikan tempat letak kenderaan di kawasan lapang berhadapan hospital berkenaan.

 

“Kawasan lapang tersebut juga berhampiran dengan jejantas yang membolehkan pelawat melintas jalan raya dengan selamat.

 

“Usaha ini akan membantu mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan sementara di HSA sehingga cadangan penyelesaian lain dilaksanakan seperti pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Perling, Liew Chin Tong mengenai inisiatif yang diambil bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di HSA.

 

Tian Soon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan RM500 juta bagi projek naik taraf infrastrujtur HSA termasuk pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat.

 

Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif lain juga diambil bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di HSA.

 

“Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan bas ulang alik secara percuma untuk warganegara dari Larkin Sentral ke HSA mulai Oktober 2022. Penyediaan ‘Value Added Service’ (VAS) bagi perkhidmatan farmasi di poliklinik.

 

“Pelaksanaan sistem e-Temujanji di Poliklinik HSA agar pesakit tidak perlu hadir ke klinik bagi penetapan tarikh temu janji kali pertama. Penyediaan sistem iQMS secara ‘web based’ di mana pesakit boleh membuat semakan nombor giliran menggunakan telefon bimbit atau peranti mudah alih serta pelaksanaan Skim Perubatan MADANI,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor