“ARWAH WIRA FELCRA BUKIT KEPONG”


Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad (bulatan putih) bersama Ahmad Faizal Karim (bulatan kuning) dan masyarakat FELCRA Bukit Kepong pada Syawal 1445H yang lalu. | Foto Ihsan Kampung FELCRA Bukit Kepong

 

Legasi dan jasa yang ditinggalkan oleh Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dipastikan sentiasa berada dalam ingatan penduduk khususnya generasi muda Kampung FELCRA Bukit Kepong, Muar.

 

Meskipun berasa agak terkilan tidak dapat merealisasikan hasrat Allahyarham untuk mengadakan kursus pemantapan patriotisme bagi generasi ketiga penduduk di tanah rancangan berkenaan, Ahmad Faizal Karim, 43, Ketua Kampung FELCRA Bukit Kepong beriltizam akan memastikan roh perjuangan Allahyarham akan disuntik dalam diri anak muda setempat.

 

Malah, keperibadian dan sikap rendah diri yang ditonjolkan Allahyarham Muhamad Amir dalam pergaulan seharian bersama penduduk setempat sebelum turut disifatkan Ahmad Faizal sebagai menyerlahkan lagi karakter sebenar perajurit negara itu.

 

Berkongsi kisah perjumpaan terakhirnya pada 2 Syawal yang lalu, Ahmad Faizal memberitahu, Allahyarham seorang yang sentiasa positif dan mempunyai keyakinan bahawa tiada apa yang boleh menghalang anak-anak peneroka untuk mengecapi kejayaan selain bertekad mahu menjadi contoh terbaik kepada golongan berkenaan.

 

Selain itu, Ahmad Faizal yang turur mewakili masyarakat peneroka di sini akan terus mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham Muhamad Amir dengan mengangkatnya sebagai wira FELCRA Bukit Kepong sekali gus menjadi inspirasi contoh teladan terbaik kepada anak muda untuk menceburi bidang ketenteraan kelak.

 

#TragediNahasHelikopter
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor