BAJET RM4.94 JUTA BAGI PENGUKUHAN KELUARGA DAN PEMERKASAAN WANITA


Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.94 juta bagi tujuan pengukuhan keluarga dan pemerkasaan wanita / Gambar Ihsan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri sentiasa mengambil peduli akan kesejahteraan keluarga dengan menawarkan pelbagai program dan aktiviti intervensi membabitkan wanita dan keluarga dengan membabitkan peruntukan RM4.94 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata muktahir ini keluarga dan komuniti menghadapi pelbagai cabaran psikososial dan pengukuhan keluarga dan pemerkasaan wanita perlu dilaksanakan sewajarnya.

“Pertama adalah inisiatif Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor. Kerajaan Negeri prihatin terhadap isu sosial terutama melibatkan simpanan masa hadapan. Justeru, kerajaan Negeri bersetuju mencarum RM60 ke dalam akaun KWSP suri rumah yang berdaftar dalam sistem eKasih sebagai simpanan galakan.

“Sementara itu Kerajaan Persekutuan menambah sebanyak RM480 setahun bagi setiap pencarum menjadi jumlah bantuan diterima sebanyak RM540. Sebanyak RM771,000 diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 12,864 penerima dari golongan suri rumah eKasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 Bertemakan Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat di Persidangan Dewan Negeri Johor, semalam.

Onn Hafiz berkata, selain itu Kerajaan Negeri juga bersetuju menyediakan lima lagi inisiatif lain yang bertujuan memperkukuh institusi keluarga dan memperkasakan wanita.

“Bagi inisiatif kedua, sebanyak RM1 juta diperuntukan bagi kerja awalan untuk pembangunan Rumah Pesona Wanita sebagai pusat perlindungan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Selain itu, sebanyak RM1.5 juta bagi pelaksanaan Program Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat (i-BERKAT) yang merupakan bantuan khusus berkaitan kesihatan dan barangan keperluan khas bagi memastikan Bangsa Johor terus disantuni dan kekal sihat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM900,000 pula diperuntukkan bagi Program Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar melibatkan 1,500 wanita dan keluarga dari kalangan B40.

“Inisiatif kelima pula, Kerajaan Negeri memperuntukan RM565,000 untuk Program Galakan dan Pengiktirafan Pesona Johor bagi memperkasakan pembangunan wanita agar lebih dinamik, proaktif dan progresif.

“Keenam, sebanyak RM200,000 bagi pelaksanaan Program Intervensi Keluarga dan Komuniti Mind-X bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi dan mental yang akan memberi manfaat kepada 5,000 orang di pelbagai peringkat usia,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor