RM295 JUTA UNTUK AGENDA PEMBASMIAN KEMISKINAN


Kerajaan negeri Johor sentiasa komited dalam menjayakan agenda pembasmian kemiskinan / Gambar Ihsan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim

 

ISKANDAR PUTERI — Agenda pembasmian kemiskinan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan beriltizam untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang 2025.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bagi tujuan itu pihak kerajaan negeri menyediakan beberapa peruntukan bagi beberapa inisiatif dalam Belanjawan Negeri Johor 2023 bagi menjayakan agenda berkenaan.

“Pertama, sebanyak RM278 juta diperuntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu 66,000 penerima bantuan yang meliputi Bantuan Am Negeri dan bantuan-bantuan kerajaan Persekutuan.

“Kedua, RM6 juta diperuntukan kepada IRDA bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar yang dilaksanakan menerusi pemberian peralatan perniagaan dan latihan dengan tujuan untuk menambah pendapatan ketua isi rumah hingga terkeluar daripada kelompok miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 Bertemakan Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat di Persidangan Dewan Negeri Johor, semalam.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan kepada agensi dan jabatan kerajaan negeri yang lain bagi memastikan agenda ini dapat direalisasikan.

“Sebanyak RM7.8 juta diperuntukan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan harian kepada 6,000 asnaf dan menyediakan bantuan pendidikan kepada 1,200 orang anak-anak asnaf.

“Keempat, RM1.2 juta diperuntukan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi melaksanakan Projek Komuniti Di Hati yang memanfaatkan 48,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membina sebuah Pusat Sivik Larkin di Taman Larkin Perdana yang akan digunakan sebagai penempatan sementara golongan gelandangan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor