POTENSI ANAK JAUHAR AKAN DIPERKASA


Kerajaan Negeri akan memperkasakan Porgam Potensi Anak Jauhar / Gambar Ihsan FB Rasmi Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

 

ISKANDAR PUTERI — Belanjawan Negeri Johor 2023 turut memberi perhatian kepada golongan kanak-kanak kerana mereka adalah masa depan bagi kelestarian Bangsa Johor.

Justeru itu, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif Potensi Anak Jauhar bagi memastikan pada peringkat awal kanak-kanak ini dapat diberikan perhatian dan didikan sempurna supaya mereka dapat membesar sebagai Bangsa Johor yang progresif dan dinamik.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia juga seiring dengan aspirasi YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam supaya setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kana-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa program dengan peruntukan sebanyak RM4.18 juta. Pertama ialah Child Support Team Johor dengan peruntukan RM210,000 bagi mengadakan latihan kepada 300 orang mewakili pelbagai pelbagai aktivis sosial.

“Keduanya ialah Penubuhan Jauhar Childcare Centre (JCC). Selepas projek rintis JCC di Kota Iskandar, Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah lagi JCC di Segamat dengan peruntukan sebanyak RM535,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 yang bertemakan Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat di Persidangan Dewan Negeri Johor di sini, semalam.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukan sebanyak RM180,000 bagi Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) yang mensasarkan 200 pengasuh untuk diiktiraf sebagai pengasuh berdaftar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan Negeri juga memperuntukan sebanyak RM250,000 bagi Program Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-Kanak ini dan akhir sekali ialah Program Anak Angkat Makmur Johor.

“Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan ibu bapa. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masa depan anak-anak ini dan akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk terus menyantuni seramai 1,825 anak yatim dan yatim piatu sehingga mereka mencapai usia 18 tahun,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor