BANTUAN ‘ONE-OFF’ KEPADA MASJID, SURAU TERJEJAS


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 41 masjid dan 68 surau terkesan serta dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan bencana banjir yang melanda negeri Johor, setakat hari ini.

 

Daripada jumlah tersebut, Batu Pahat merekodkan 28 masjid dan 44 surau dikuti dengan Segamat (6 masjid, 10 surau), Kluang (3 masjid, 3 surau), Kota Tinggi (2 masjid, 2 surau), Muar (1 masjid, 4 surau), Tangkak (1 masjid, 2 surau) serta Mersing (2 surau).

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri menganggarkan jumlah kerosakan ditanggung pada ketika ini berjumlah RM1.9 juta.

 

“(Bagaimanapun) Jumlah sebenar adalah tertakluk kepada penelitian akhir yang akan dibuat dalam tempoh yang terdekat. Itulah gambaran awal kos dan kerosakan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Mohd Fared berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) juga akan memberikan bantuan ‘one-off’ sehingga RM20,000 kepada masjid dan surau yang terjejas serta dijadikan PPS.

 

“Ia bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa masjid atau surau itu. Ini adalah antara bantuan awal yang telah pun JAINJ umumkan, akan disalurkan kepada masjid dan surau yang terlibat.

 

“Kalau mungkin ia kecil, kita berilah kecil, (dan) kalau ia agak besar, kita akan salurkan semaksimumnya ketika ini RM20,000. Dan selebihnya sekiranya ada kerosakan yang lebih besar yang terpaksa ditanggung, kita akan maklumkan kepada kerajaan negeri untuk dimohon melalui peruntukan kerajaan pusat yang telah disalurkan,” katanya.

 

Beliau memberitahu antara kerosakan paling besar adalah permaidani di ruang Solat yang terpaksa dibuat dan dilupuskan sekali gus perlu diberikan perhatian segera demi keselesaan jemaah.

 

“Selain dari itu, kita juga terima laporan tentang kerosakan mimbar dan peralatan siar raya. Tidak kurang juga tentang perabot yang mengalami kerosakan.

 

“Bagi tandas dan juga kawasan kemudahan awam mengalami kerosakan dan perlu dibaiki kerana sebahagian daripada masjid dan surau ini jadi PPS, sudah pastilah ada kemudahan yang terpaksa dibaik pulih semula selepas ini,” katanya.

 

Bercakap mengenai pelupusan al-Quran, kitab serta buku mengandungi ayat suci yang terkesan akibat banjir, Mohd Fared berkata, Pejabat Kadi Daerah telah diarahkan mewujudkan pusat pengumpulan bagi membolehkan mangsa banjir menghantar ke tempat dikhaskan sebelum melalui proses pelupusan.

 

“Sehingga semalam, di Batu Pahat sahaja ada lebih kurang 50 tan dan seluruh Johor, kita yakin boleh capai 100 tan. Ini adalah jumlah yang besar, bahkan kita telah menggerakkan semua pusat pelupusan untuk kerja lebih masa.

 

“Sebab kalau hendak tunggu semua dikumpulkan baru kita memulakan proses pembakaran, ia akan jadi sangat lewat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor