RMMJ BOLEH DIJUAL SELEPAS 10 TAHUN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Pemilik Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) hanya dibenarkan menjual kediaman masing-masing selepas tempoh 10 tahun pemilikannya, berdasarkan dasar baharu ditetapkan oleh kerajaan negeri, mulai tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, kebenaran tersebut berbeza dengan dasar terdahulu yang membenarkan pemilik menjual kediaman RMMJ dimiliki selepas tempoh lima tahun.

 

“Dasar baru pada tahun ini, kita ikat, (dan) naikkan tempoh daripada lima kepada 10 tahun. Penerima RMMJ bermula tahun 2023 ini, tidak boleh menjual RMMJ kategori A, B dan C (berharga) di bawah RM150,000 sehingga selepas 10 tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Iskandar, hari ini.

 

Menjawab aduan berhubung luahan masyarakat mengenai penjualan RMMJ yang tular di media sosial, Mohd Jafni berkata, pihaknya kini sedang melakukan semakan tahun kediaman tersebut dibina dan dimiliki pembeli.

 

“(Sekiranya melibatkan kediaman) baru dibuat sepatutnya, kalau nak jual pun, kita ada satu sistem dasarnya akan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) atau pejabat tanah. Dekat situ, kita akan dapat kenalpasti sama ada boleh lepaskan unit itu atau tidak,” katanya.

 

Dari segi perundangan, beliau memberitahu pemilik tidak akan dapat menjual kepada pihak kedua atau ketiga dalam tempoh kurang daripada 10 tahun berdasarkan dasar yang baru.

 

“Maksudnya pemilik tidak boleh ‘settle’ dekat tepi bayar, pasal akhirnya pemilikan unit macam geran itu, dia kena tukar kepada orang yang baru. Dekat situ, di peringkat kerajaan sama ada PTG dan PKPJ, kita akan sekat (jika melanggar syarat).

 

“Setakat ini, belum lagi (pemilik dikenalpasti melanggar dasar baru) pasal kita baru kuatkuasa Januari ini. Jadi kes-kes yang tular mungkin kes-kes yang lama.

 

“Sebab itu saya nak masyarakat faham bahawa RMMJ itu boleh dijual. Tapi dasar lama ialah selepas lima tahun, tapi untuk dasar baru ialah 10 tahun. Kenapa kerajaan naikkan daripada lima ke 10 tahun, sebab kita nak orang yang betul-betul layak mohon RMMJ,” katanya.

 

Mengikut dasar baru kerajaan negeri, kediaman RMMJ terdiri daripada kategori A berharga RM50,000 diikuti B iaitu RM100,000 manakala C adalah RM150,000.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPanats
#MajuJohor