BELANJAWAN 2023 MAMPU LONJAK PEMBANGUNAN ISKANDAR MALAYSIA


Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyambut baik Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ dibentangkan Perdana Menteri semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ mampu melonjakkan usaha pembangunan sosial dan ekonomi wilayah Iskandar Malaysia terutama pasca pandemik COVID-19.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, cadangan dan inisiatif melibatkan Iskandar Malaysia secara langsung mampu untuk menjayakan perkara tersebut.

 

“Cadangan yang secara langsungnya melibatkan kawasan Iskandar Malaysia ini menzahirkan keyakinan kerajaan terhadap kedudukan dan peranan yang mampu dimainkan oleh Iskandar Malaysia dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

 

“Ini akan memperkukuhkan lagi usaha wilayah ini untuk meningkatkan kemasukan pelaburan dan menyediakan ekosistem kehidupan dan perniagaan yang lebih baik terutama sekali dalam menangani cabaran pasca pandemik COVID-19,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, cadangan kerajaan untuk mewujudkan zon kewangan di Iskandar Malaysia merupakan langkah strategik yang mampu menarik minat pelabur dan pekerja berpengetahuan untuk bertapak di koridor ekonomi itu.

 

Ujarnya, ia sekali gus menambah nilai dan memberi kelebihan kepada Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan antarabangsa seperti kemasukan Insulet Corporation dari Amerika Syarikat dan Paris Baguette dari Korea Selatan, baru-baru ini.

 

Selain itu, pelanjutan galakan cukai kepada syarikat pengilangan industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus untuk C-Suites sehingga tahun 2024 turut disambut baik.

 

Dr. Badrul Hisham berkata, inisiatif itu dijangka akan memperkukuhkan lagi pelaburan dalam industri tersebut yang merupakan salah satu daripada sembilan sektor dipromosikan di Iskandar Malaysia.

 

“Begitu juga dengan pelanjutan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa memandangkan sektor ini adalah sektor yang baru diperkenalkan di Iskandar Malaysia.

 

“Insentif-insentif dan usaha ini akan disokong oleh Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan untuk mempercepatkan kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi,” kata beliau.

 

Mengenai cadangan melanjutkan tempoh insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) hingga 31 Disember 2025 bagi aktiviti hijau yang layak, beliau memberitahu inisiatif itu akan dapat merangsang minat pelabur di Iskandar Malaysia.

 

“Langkah-langkah ini akan memberikan keyakinan kepada pelabur sedia ada serta bakal pelabur yang masih mengintai peluang melabur lebih meluas di sini,” kata beliau.

 

Selain itu, pengumuman mengenai projek menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara bagi Fasa 1; pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 di Johor Bahru dan pembesaran Hospital Pontian turut disambut baik.

 

Ujar beliau, kesemua itu merupakan kemudahan dilaksanakan untuk dimanfaatkan rakyat dan akan menyumbang kepada penyediaan ekosistem kehidupan berkualiti terutama mereka yang menetap di Iskandar Malaysia.

 

“Pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 bagi yang menggunakan perkhidmatan Bas Henti-Henti (MyBas) mampu mengurangkan kos pengangkutan rakyat Johor dengan ketara dan akan menggalakkan penggunaan kenderaan awam.

 

“Ini senada dengan usaha yang sedang diambil IRDA bagi menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik dan mesra alam menerusi projek Iskandar Rapid Transit (IRT) yang juga telah diberikan peruntukan dan akan memulakan fasa pembinaannya pada suku kedua tahun ini,” kata beliau.

 

Dr. Badrul Hisham berkata, pertumbuhan ekonomi Iskandar Malaysia turut akan disokong oleh peningkatan mobiliti di antara Malaysia dan Singapura melalui projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang bakal memudahkan pergerakan antara bandar.

 

“Keputusan untuk menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan di antara Yong Peng Utara dan Senai Utara ini tepat pada masanya dan peruntukan RM525 juta bagi penambahan dari empat kepada enam lorong dapat menjamin keselesaan dan menjamin keselamatan pengguna yang kini mengalami peningkatan amat ketara sejak lebih sedekad.

 

“Pelaksanaan penambahbaikan kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong SDE pula membuktikan Iskandar Malaysia telah berjaya membawa limpahan manfaat kepada kawasan sekelilingnya sama seperti Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah dan Tanjung Bin, Pontian yang telah dibuka baru-baru ini,” kata beliau lagi.

 

Beliau melihat Belanjawan 2023 sebagai pemangkin ekonomi negara yang lebih mampan khususnya dalam iklim ekonomi yang sedang mengalami pemulihan serta ketidaktentuan suasana geo politik dunia.

 

“Langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan ini juga dilihat dapat meminimumkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat terutamanya yang membabitkan kawalan harga barang dan perkhidmatan,” kata Dr. Badrul Hisham.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor