KERAJAAN JOHOR SAMBUT BAIK BELANJAWAN 2023


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri berterima kasih dan komited untuk memudahcara projek serta inisiatif dalam Belanjawan 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, turut memberikan limpahan manfaat kepada negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri berterima kasih atas persetujuan melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1 serta membina lorong memotong di Senai Desaru Expressway (SDE).

 

“Sudah pasti dengan pelebaran laluan utama ini, ia akan usaha meningkatkan kesalinghubungan yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat dari dalam dan luar Johor,” kata beliau sebagai mengulas belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, hari ini.

 

Selain menaik taraf Lebuh raya Utara Selatan dan SDE, perkara lain diumumkan Perdana Menteri adalah Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi yang perlu melalui proses tender semula.

 

Begitu juga cadangan memperkukuhkan lagi pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan, membesarkan Hospital Pontian serta pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk rakyat Johor Bahru.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menzahirkan komitmen di peringkat tertinggi bagi memudahcara kesemua projek dan inisiatif diumumkan Perdana Menteri, demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan Bangsa Johor.

 

“Sekali lagi saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, ingin merekodkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi pertimbangan dan seterusnya melaksanakan harapan yang kami utarakan sebelum ini,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor