BELANJAWAN 2024 MAMPU RANGSANG SEKTOR DIPROMOSI DI ISKANDAR MALAYSIA


Belanjawan 2024 mampu merangsang pembangunan sektor-sektor dipromosikan di Iskandar Malaysia. | Foto arkib MDJ

 

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) percaya Belanjawan 2024 mampu merangsang pembangunan sektor-sektor dipromosikan di Iskandar Malaysia sekali gus meningkatkan minat pelabur untuk menjadikan wilayah berkenaan, sebagai pusat pelaburan yang memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan perniagaan tempatan.

 

Ketua Eksekutif IRDA, Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim memberitahu Belanjawan MADANI akan menyumbang kepada usaha untuk membangun dan memperkukuhkan sektor-sektor yang dipromosikan di Iskandar Malaysia, sebagai sebuah wilayah ekonomi terutama pelancongan, kreatif, kewangan dan khidmat pelanggan.

 

“Penstrukturan semula ekonomi dengan meletakkan keutamaan pelaburan masa depan yang ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi adalah selari dengan salah satu fokus utama di dalam Pelan Pembangunan Komprehensif (CDPiii) Iskandar Malaysia 2022-2030,” ujar Badrul Hisham.

 

Tambah beliau, insentif Belanjawan 2024 yang berkaitan atau dapat dimanfaatkan oleh Iskandar Malaysia adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Komprehensif (CDPiii) 2022-2030 yang memberi tumpuan kepada dua prinsip iaitu ‘Berdaya Tahan dan Kalis Cabaran Pada Masa Hadapan’ dan ‘Inklusif dan Saksama’.

 

Selain itu, IRDA akan terus bekerjasama dengan agensi penggalak pelaburan seperti MIDA dan Invest Johor serta semua rakan strategik bagi mendorong visi Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis antarabangsa yang kukuh dan mampan, susulan sokongan diberikan oleh Belanjawan MADANI untuk merangsang sektor dipromosikan dan pelaburan di wilayah tersebut.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor