‘BERITA GEMBIRA’ KEPADA AHLI DEWAN NEGERI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri bagi melaksanakan program sempena Ramadan dan Syawal | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengumumkan ‘berita gembira’ kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia melibatkan bantuan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk terus menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.

 

“Pertamanya, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program-program di bulan Ramadan ini.

 

“Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program-program sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan peruntukan RM20,000 bagi menjayakan agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing.

 

“Semua peruntukan ini akan disalurkan dalam masa satu minggu. Saya berharap peruntukan ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor