LIMA BANTUAN RINGAN BEBAN MANGSA BANJIR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan lima bantuan banjir bagi meringankan beban mangsa | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Lima jenis bantuan banjir daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan disediakan untuk meringankan beban mangsa banjir di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertama, pihak Ranhill SAJ bersetuju memberikan diskaun sehingga 40 peratus untuk bil air mangsa banjir bagi bulan Mac dan April.

 

“Keduanya, kerajaan negeri sedar dan faham ada mangsa-mangsa banjir yang tidak sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting kerana paras air naik begitu mendadak.

 

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran RM250 bagi penggantian geran yang hilang atau hancur semasa banjir,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, ketiga, pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan dan Negeri kepada Ketua Isi Rumah (KIR) akan selesai pada bulan Mac.

 

“Kecuali daerah Batu Pahat dan Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai daripada daerah-daerah lain.

 

“Bantuan RM1,300 (BWI – RM1,000/KIR dan tamabahan kerajaan negeri RM300/KIR) untuk setiap Ketua Isi Rumah ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta,” katanya.

 

Ujarnya, keempat, Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April ini, berjumlah RM2,500 untuk setiap KIR yang melibatkan peruntukan RM60.3 juta.

 

“Kelima, izinkan saya kongsikan sekali lagi bahawa moratorium pinjaman bagi mangsa banjir sehingga enam bulan telah diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac, yang melibatkan hampir semua bank,” katanya.

 

Beliau turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah mengurniakan peralatan elektrik dan tilam lipat bernilai RM700,000.

 

Menteri Besar Johor juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang banyak membantu Bangsa Johor dalam menghadapi bencana.

 

“Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan-kerajaan negeri, pegawai-pegawai daerah, agensi-agensi negeri dan persekutuan, GLC-GLC, pihak swasta, sukarelawan Southern Volunteers dan semua yang membantu dalam kita mengharungi cabaran dan dugaan yang luar biasa ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor