BIARKAN HOSPITAL SIASAT – EXCO KESIHATAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pengenalan Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, pada Rabu. | Foto MDJ, Sophie Razale.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menyerahkan kepada pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk melakukan siasatan terhadap ketidakpuasan hati seorang pengadu ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital berkenaan seperti yang tular di media sosial.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, tiada halangan kepada mana-mana individu untuk hadir ke hospital kerajaan termasuklah JKT bagi mendapatkan perkhidmatan dan rawatan sekiranya memerlukan.

 

“Kalau ada sakit mereka (pesakit) boleh pergi ke mana-mana hospital kerajaan melalui wad kecemasan. Hospital kerajaan tidak boleh menolak apa-apa sakit yang datang ke hospital untuk menerima rawatan.

 

“Apa yang berlaku melibatkan pengadu tersebut kita tidak tahu, biar pihak hospital jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pengenalan Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, pada Rabu.

 

Sementara itu, Pengarah HSA, Dr. Sal Atan dalam satu kenyataan memaklumkan pihak pengurusan hospital sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenalpasti faktor kedatangan pesakit ke JKT sama ada atas kes kecemasan atau sebaliknya.

 

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, pihak pengurusan HSA Johor Bahru sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan perawatan yang terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amat dikesali,” katanya.

 

Beliau berkata, JKT memberi perkhidmatan 24 jam untuk kes kecemasan dan menyediakan rawatan kes bukan kecemasan selepas waktu pejabat, cuti hujung minggu dan cuti pelepasan am sebelum 4 Jun lalu.

 

“Namun, pada 4 Jun 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan projek rintis ‘extended hour’ klinik kesihatan yang melibatkan Klinik Kesihatan Mahmoodiah dengan kerjasama JKT HSA Johor Bahru,” katanya.

 

Terdahulu, tular video berhubung dakwaan tidak dibenarkan berjumpa dengan pegawai perubatan di JKT HSA Johor Bahru ketika hadir untuk menerima rawatan pada 20 Jun lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor